Kenakan caj kenderaan atasi kesesakan Pulau Pinang, cadang wakil rakyat
Iklan
PENYOKONG kerajaan di Pulau Pinang mencadangkan kenderaan dari luar yang memasuki negeri itu dikenakan caj.
Jason Ong Khan Lee (PH-Kebun Bunga) berkata langkah itu bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya negeri itu yang berdepan masalah kesesakan trafik yang semakin buruk.
“Saya mahu mencadangkan caj dikenakan terhadap semua kenderaan yang tidak didaftarkan di Pulau Pinang.
“Ini akan menggalakkan lebih ramai orang datang ke Pulau Pinang menggunakan pengangkutan awam.
“Langkah ini juga akan membantu mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke Pulau Pinang,” katanya pada perbahasan Bajet 2019 negeri hari ini.
Pulau Pinang terutamanya di pulau, berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk sejak bertahun lalu.
Masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu, yang merupakan destinasi pelancongan popular, semakin buruk ketika mucim cuti, hujung minggu yang panjang dan pada sambutan perayaan.
“Berbanding 210 tahun lalu, kita hanya ada kira-kira 300,000 kenderaan, Pulau Pinang kini mencatatkan 1 juta kenderaan. Mari kita gerakkan orang, bukan kereta,” kata Ong.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri mengatasi masalah penjaja haram yang menjaja di tepi jalan dan di kawasan parkir.
Sementara itu, berhubung insiden tanah runtuh pada tapak pembinaan tahun ini dan tahun lalu di Bukit Kukus dan Tanjung Bungah, Ong turut mencadangkan Putrajaya untuk menubuhkan Suruhanjaya Kejuruteraan Awam dan Geoteknik.
Katanya, suruhanjaya itu - yang akan diketuai oleh juru ukur bangunan dan terdiri daripada jurutera dan profesional awam yang berurusan dengan arahan pemberhentian kerja, dan kerja-kerja pembetulan - harus melaporkan kepada Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
“Suruhanjaya ini juga perlu menulis garis panduan, prosedur operasi standard dan kriteria lain bagi alam sekitar, sosial, penilaian impak trafik dan keperluan lain.
“Suruhanjaya ini juga perlu dilengka[i dengan Sistem Maklumat Geografik (GIS) untuk menyediakan pemetaan tanah runtuh dan bencana banjir,” katanya.
Tanah runtuh di tapak pembinaan jalan raya di Bukit Kukus 19 Oktober lalu menyebabkan 9 pekerja warga asing terbunuh manakala tanah runtuh di tapak pembinaan apartmen Tanjung Bungah pada Oktober tahun lalu menyebabkan 11 pekerja terbunuh. – 13 November, 2018