Guru 'minta habuan seks dari pelajar'
Iklan
GURU meminta habuan seks daripada pelajar sebagai balasan untuk meluluskan mereka dalam peperiksaan di sekolah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tanpa memberi butiran lanjut, ketua pesuruhjayanya Mohd Shukri Abdull berkata terdapat contoh di mana guru-guru mendekati murid-murid untuk mendapatkan perkhidmatan itu sebagai pertukaran untuk markah.
“Terdapat kes guru meminta habuan seks daripada murid untuk meluluskan peperiksaan mereka,” katanya pada sebuah forum di Putrajaya hari ini.
Shukri bagaimanapun berkata banyak kes tidak dapat diteruskan ke mahkamah kerana mangsa enggan bercakap.
“Kami tidak membawa jenayah ini ke mahkamah kerana mereka (murid) tidak cukup sanggup untuk tampil.”
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata murid atau ibu bapa mereka harus bersuara tentang jenayah ini.
“Kami menggesa pihak yang terlibat untuk melaporkan kepada polis dan tidak menyembunyikannya. Kami tidak akan bertolak ansur dengan jenis tingkah laku ini,” kata Maszlee.
Beliau yang juga ahli Parlimen Simpang Rengam juga memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa kementerian akan melindungi identiti pelajar.
“Mereka akan dilindungi. Kami memberi jaminan bahawa semua mangsa akan dilindungi dan kami berdiri untuk kedaulatan undang-undang.
“Kami mahukan lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan dan tidak takut. Undang-undang ada bersama mereka. ” – 13 November, 2018