KPM hantar pegawai siasat guru tidak hadir ke sekolah di Sabah
Iklan
MENTERI Pendidikan Maszlee Malik menghantar pegawainya untuk menyiasat kes guru di Sabah yang dilaporkan tidak masuk ke kelas selama tujuh bulan.
Maszlee berkata, beliau sudah menerima laporan awal daripada guru di Kota Belud itu namun memutuskan untuk menghantar pegawainya kerana beliau tidak yakin dengan apa yang berlaku.
“Saya menerima laporan tetapi ia masih di bawah siasatan. Saya sendiri sudah menghantar pegawai untuk turun padang dan bertemu keluarga terbabit untuk memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku,” kata Maszlee kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.
Baru-baru ini, seorang bekas pelajar bertindak memfailkan saman terhadap gurunya kerana tidak hadir pada kelas Bahasa Inggeris yang ditugaskan kepadanya untuk mengajar pada Februari hingga November 2015.
Kecuali seminggu pada Oktober, guru terbabit didakwa tidak masuk ke kelas selama tujuh bulan, kata bekas pelajar berkenaan.
Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Dr Yusof Yacob berkata beliau mengambil kepentingan peribadi dalam kes yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pendidikan persekutuan.
“Saya memantau secara dekat kes ini.”
“Tabiat guru atau pegawai kerajaan lain yang ponteng kerja bkan perkara baharu dan terdapat garis panduan jelas bagaimana kerajaan boleh mengambil tindakan,” katanya. – 13 November, 2018