Iklan

Reformasi profesion perguruan, langkah pertama baiki sistem pendidikan

Looi Sue-Chern6 years ago13th Nov 2018Berita
School 20180102 tmihasnoor 012
Kementerian Pendidikan perlu terlebih dahulu menangani isu profesion perguruan sebelum membuat penambahbaikan terhadap sistem pendidikan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.
Iklan

PENAMBAHBAIKAN terhadap sistem pendidikan Malaysia hanya akan bersifat luaran tanpa terlebih dahulu mereformasikan profesion pengajaran dengan menangani kualiti guru, beban kerja mereka yang luar biasa dan kehadiran kelas yang tidak konsisten, kata para pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Harry Tan berkata guru di Malaysia sekian lama berdepan kritikan, sedangkan hakikatnya, ramai dalam profesion itu tidak mampu menghadapi beban pengajaran, pentadbiran, menganjurkan program dan mengambil bahagian dalam acara serta latihan.

“Orang atasan kami sentiasa memberitahu tugas kami adalah melakukan kerja; dan apabila kita dibayar lebih, kita mesti melakukan lebih banyak kerja. Kami sangat bersetuju tetapi persoalannya - adakah kita melakukan perkara yang betul?

“Lihatlah kedudukan kita dalam penunjuk dunia seperti PISA dan TIMSS,” katanya, merujuk kepada kedudukan rendah Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa dan Trend dalam Kajian Matematik dan Sains Antarabangsa.

Tan berkata guru juga menghadapi banyak sekatan dan dilema dalam tugas, terutamanya ketika mendisiplinkan pelajar.

“Jika kita menangkap pencuri di kalangan pelajar, perkara yang betul untuk dilakukan mengikut undang-undang adalah melaporkannya kepada pihak berkuasa berkaitan. Tetapi sebagai guru, peranan kita adalah untuk mendidik supaya pelajar membesar sebagai warganegara yang baik.

“Oleh itu, ia menjadi dilema. Dengan semua sekatan yang dikenakan ke atas kami, bagaimanakah kita dapat mengajar disiplin? Kami tidak diberikan latihan yang betul tentang bagaimana menangani kes melibatkan kegiatan jenayah,” katanya.

Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim berkata profesion pengajaran dan sukatan pelajaran kebangsaan perlu dikaji semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

Perbaiki silibus

Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini berkata mesyuarat dijadualkan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Majlis Penasihat Akademik Kebangsaan dan Jabatan Pendidikan untuk membincangkan cara mereformasi sistem pendidikan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata profesion pengajaran dan sukatan pelajaran kebangsaan perlu dikaji semula.

Noor Azimah berkata guru perlu dilatih mampu menguasai dwibahasa, dan kelas pemulihan bahasa Inggeris perlu diperkenalkan semula kepada pelajar.

Selain itu, beliau berkata pengajaran dan pembelajaran sains perlu dijadikan lebih menarik dengan meningkatkan pendidikan ilmu sains dengan pendekatan inquiry based.

“Masa yang lebih banyak perlu diluangkan untuk eksperimen sains dan latihan matematik juga.

“STEM kebangsaan (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) perlu dibangunkan juga.”

Tan pula, sebaliknya berkata perubahan dalam sukatan pelajaran tidak seharusnya menjadi keutamaan kerana kurikulum kebangsaan dan sekolah menengah sedia ada adalah sudah dikira baik.

Sebaliknya, beliau berkata pembuat dasar tidak sepatutnya mempolitikkan pendidikan jika mereka benar-benar ingin memperbaharui sistem itu.

“Apa yang diperlukan sistem pendidikan kita bukanlah ahli politik tetapi reformis pendidikan. Kita lihat menteri baru kita berusaha keras untuk mengubah cara yang sekian lama dilakukan pada masa lalu.

“(Tetapi) jika bahagian atas tidak selaras dengan bahagian bawah, pengamal, silap mata tidak akan berlaku di dalam kelas.” – 13 November, 2018.

Iklan
Iklan