Iklan

Hampir 60% responden ragu hala tuju ekonomi Najib, kata Invoke

Sharon Tan7 years ago16th Aug 2017Berita
Najib razak tminazirsufari 07
Kajian Invoke itu menerima 3,783 jawapan responden mengenai hala tuju ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2017.
Iklan

HAMPIR 60% responden kajian mengatakan hala tuju ekonomi Perdana Menteri Najib Razak berada dalam landasan yang salah, kata Invoke Centre for Policy Initiatives hari ini.

Institut pemikir PKR itu berkata hanya 41% menyokong hala tuju ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“65% juga mengatakan yang ekonomi kini lebih teruk berbanding empat tahun lalu,” kata ketua Invoke yang juga merupakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada sidang media hari ini.

Kajian itu yang dilakukan menerusi panggilan telefon menghubungi 1.9 juta orang menggunakan sistem temubual interaktif tetapi hanya mengutip 3,783 jawapan.

Kajian itu dilakukan bermula 10 Jun sehingga 14 Julai yang kebetulan bertembung dengan cuti Hari Raya, dikatakan Rafizi sebagai punca jumlah responden yang rendah.

Walaupun banyak usaha seperti Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India dan pelancaran MRT dilakukan Najib dan pentadbirannya sejak beberapa bulan lepas, tiada perubahan sentiment di peringkat akar umbi menurut kajian itu.

“Najib bertarung dengan sentimen pesimis. Ada ramai pengundi yang tidak berpuas hati merasakan kehidupan semakin sukar, menyalahkan GST dan usaha beliau (Najib) tidak cukup. (Kelompok) Pengundi ini penting kerana mereka tidak mudah dipengaruhi dengan retorik, skandal seperti 1MDB atau (isu) perkauman. Mereka adalah kelompok terbesar pengundi.

“Jika Najib menambah baik situasi ekonomi atau apa yang Najib umumkan setakat ini berkesan, sepatutnya (kajian) mampu melihat sentimen yang lebih baik,” kata Rafizi.

Jadi ada kemungkinan Najib tidak akan mengadakan pilihan raya umum pada November ini kerana beliau memerlukan masa untuk memperbaiki sentiment ini.

Kajian itu juga menunjukkan perbezaan antara kadar inflasi rasmi dikeluarkan kerajaan sekitar 2% hingga 3% berbanding dengan peningkatan harga yang dirasai majoriti responden kajian yang merasakan inflasi meningkat lebih 10%.

“Ini memberikan kelebihan besar kepada pembangkang kerana (jika) Najib dan pentadbirannya terus mengumumkan kadar inflasi yang rendah, rakyat akan merasakan mereka ditipu kerana kadar kerajaan dan peningkatan harga barangan tidak sepadan,” kata Rafizi yang turut menambah kadar inflasi merupakan ukuran ekonomi yang paling mudah difahami rakyat.

Kajian itu juga mendapati yang 40%-50% pengundi Melayu berpuas hati dengan situasi ekonomi semasa berbanding 39% responden Cina dan 35% responden kaum India.

“Sentimen ini selari dengan tahap sokongan orang Melayu kepada Umno dan juga jumlah pengundi yang masih mahukan Najib sebagai perdana menteri dalam kajian sebelum ini. Ini menunjukkan sokongan orang Melayu kepada Umno kekal lemah sekitar 35% hingga 45% dalam pertembungan tiga penjuru,” kata Rafizi.

Sepuluh soalan ditanya dalam kajian itu meliputi topik seperti kos makanan, petrol, pakaian, belanja sekolah, pinjaman dan gaji. – 16 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan