Majlis tempatan diarah tutup kilang haram proses bahan buangan
Iklan
SEMUA kilang memproses bahan buangan plastik haram akan ditutup oleh majlis tempatan di seluruh negara, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kementeriannya akan mengeluarkan pekeliling kepada semua majlis tempatan untuk mengambil tindakan.
“Kita akan jalankan proses pembersihan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Pulau Pinang hari ini.
“Hanya kilang yang ada AP (permit kelulusan) untuk membawa masuk bahan buangan plastik boleh mendapatkan lesen daripada majis tempatan untuk beroperasi.
“Semua majlis tempatan akan mengikut arahan kementerian.”
Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kilang haram memproses bahan buangan plastik yang masih beroperasi di Klang, Selangor walaupun pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menutup operasi itu.
Sejak China, yang merupakan pengimport dua pertiga daripada bahan buangan plastik dunia, mengharamkan import bahan buangan itu pada 31 Disember tahun lalu, Malaysia menjadi salah sebuah negara pengimport tertinggi bahan buangan plastik dari UK.
Pulau Indah di Klang menjadi salah satu tapak pelupusan terbesar di rantau ini.
Aktivis alam sekitar Klang Chiam Yan Tuan memberitahu The Malaysian Insight baru-baru ini, terdapat kira-kira 30 hingga 40 buah kilang haram yang memproses bahan buangan ini di sekitar West Port, Telok Gong dan kawasan perindustrian Pandamaran.
Putrajaya baru-baru ini mengharamkan 114 syarikat daripada mengimport bahan buangan itu dan menutup banyak kilang haram di Selangor selepas mendapat aduan berhubung pencemaran alam sekitar.
Zuraida berkata kerajaan mengenal pasti potensi perniagaan besar bagi pemproses baha buangan plastik, yang boleh mencecah RM30 bilion.
“Tetapi kami akan menetapkan peraturan terhadap industri ini dengan lebih ketat.
“Kami hanya akan mengimport sisa plastik bersih dengan niat untuk menumpukannya pada masa yang sesuai. Kami mahu menjadikan ia industri pemprosesan sisa plastik tempatan.” – 14 November, 2018