Iklan

Siasatan polis kejadian tanah runtuh Bukit Kukus hampir lengkap

Looi Sue-Chern6 years ago14th Nov 2018Berita
Paya terubong
Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan jalan raya Paya Terubong menyebabkan sembilan warga asing terbunuh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2018
Iklan

SIASATAN polis terhadap kejadian tanah runtuh Bukit Kukus yang menyebabkan sembilan warga asing terbunuh bulan lalu hampir siap, kata ketua polis Pulau Pinang, A Thaiveegan. 

Polis menjalankan siasatan terhadap insiden yang berlaku 19 Oktober lalu di tapak pembinaan jalan raya di Paya Terubong bagi mengenal pasti sama ada ia melibatkan kecuaian jenayah.  

“Setaat ini kami sudah bercakap dengan 70 orang saksi dari pelbagai jabatan dan agensi untuk keterangan mereka. 

“Kami jangka dapat melengkapkan dan menghantar hasil siasatan kepada pejabat pendakwa raya negeri dalam tempoh beberapa hari lagi untuk arahan lanjut,” kata Thaiveegan dalam satu kenyataan ringkas hari ini. 

Polis sebelum ini berkata, pihaknya sudah bercakap dengan kontraktor utama projek jalan raya itu, sub-kontraktor, agensi kerajaan dan individu lain. 

Projek bagi membina jalan raya alternatif di Paya Terubong itu dimiliki oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, MBPP dan kerajaan negeri turut menyiasat insiden itu. 

Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas, yang diketuai oleh timbalan ketua menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, yang juga merupakan jurutera terlatih. 

Jawatankuasa itu memulakan prosiding pertama minggu lalu, menggesa pihak terbabit menjelaskan mengenai kejadian berkenaan.  – 14 November, 2018

Iklan
Iklan