Iklan

Pengimport sisa plastik buat 'tuntutan palsu', mahu abai larangan, kata Zuraida

Looi Sue-Chern6 years ago14th Nov 2018Berita
Imported plastic warehouse tmikamal 09
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mahu pengimport sisa plastik patuhi syarat yang ditetapkan kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November , 2018.
Iklan

SEJAK Malaysia membekukan import sisa plastik ke negara ini, sesetengah pengimport cuba mengelak larangan itu dengan membuat tuntutan pengisytiharan lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata tindakan tersebut harus dihukum.

“Para pengimport mengubah pengisytiharan mereka kepada sesuatu yang lain atau lebih umum.

“Ia sama seperti membuat tuntutan palsu, yang saya rasa perlu dihukum,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Terminal Pelabuhan Utara Butterworth (NBCT) di Pulau Pinang pagi ini.

Malaysia sebelum ini dilaporkan mengharamkan import sisa plastik selepas wujud laporan bahawa Malaysia telah menjadi tempat utama pembuangan sisa plastik.

Kerajaan dilaporkan merancang untuk sepenuhnya membanteras import sampah plastik dalam tempoh tiga tahun dan kemudian akan menyempurnakannya sepenuhnya di dalam negara.

Buat masa ini, pengimport hanya dibenarkan membawa masuk sisa plastik industri yang telah dibersihkan, dipisahkan dan dibungkus dengan betul.

Hari ini di NBCT, Zuraida berkata beliau bertemu dengan pegawai Jabatan Pelabuhan Pulau Pinang dan Jabatan Kastam, yang memberi taklimat tentang kapal kontena yang membawa masuk sisa plastik yang diimport dan situasi bahan buangan plastik yang tidak diisytiharkan.

Beliau berkata terdapat 175 kontena berisi sisa plastik yang tidak diisytiharkan di pelabuhan itu. Ia bagaimanapun  tidak dapat dikeluarkan kerana pengimport tidak mempunyai AP (permit yang diluluskan) daripada kementerian.

Amalan di kalangan pengimport, kata Zuraida, adalah untuk menempah sisa plastik dari sumber terlebih dahulu dan kemudian membuat permohonan apabila barang itu tiba.

“Inilah sebabnya mengapa pelabuhan dan Kastam dipenuhi dengan bekas-bekas ini, yang tersekat (di pelabuhan). Ini menyebabkan pihak berkuasa tidak senang, di samping membazirkan masa, wang dan sumber.

“Saya akan bangkitkan isu ini di mesyuarat Kabinet bagi membincangkan bagaimana kita harus tangani masalah ini dengan lebih cepat dan mengambil tindakan yang lebih ketat.”

Semasa lawatan tersebut, Zuraida berkata, beliau juga mendapati sebuah kontena berisi bahan buangan plastik bersih yang bercampur dengan sampah lain, di mana pihak berkuasa tidak dapat memberikan kebenaran masuk.

“Saya melihat ada kontena lain yang hanya mengandungi sisa plastik bersih. Sisa bersih dan sisa homogen pasca gunaan seperti ini dibenarkan,” katanya.

Zuraida berkata para pengimport boleh mendapat keizinan untuk mengambil dan mengumpul sisa plastik yang diimport jika mereka mematuhi 18 syarat kementerian, yang dikuatkuasakan mulai 26 Oktober.

Sebelum ini, terdapat 114 syarikat yang mempunyai AP untuk mengimport sisa plastik sebelum ini, namun Zuraida berkata hanya lapan syarikat layak menjalankan operasi itu di bawah peraturan baru.

“(Syarikat) selebihnya perlu penuhi syarat itu, jika mereka mahu jalankan perniagaan, mereka perlu baiki kemudahan mereka dan mengikut 18 syarat yang ditetapkan,” katanya.

Antara syarat itu termasuk menyediakan gambar dan kategori sisa plastik yang tepat, mempunyai surat sokongan dari Jabatan Alam Sekitar untuk operasi kilang mereka, lesen perniagaan yang sah dari pihak berkuasa tempatan dan tempat simpanan yang betul untuk bagi menempatkan sisa itu.

Syarat lain juga menyatakan bahawa pengimport mesti membekalkan senarai pembeli resin plastik, dan tidak dibenarkan mengimport sisa plastik dari negara-negara membangun.

“Hanya import dari negara-negara Kesatuan Eropah, AS, UK, Australia dan Jepun dibenarkan sekarang,” kata Zuraida.

“Pihak berkuasa pelabuhan dan Kastam mesti lebih berhati-hati dalam memastikan syarat dan peraturan diikuti. Kami perlu mengetatkan peraturan pada waktu ini.” – 14 November, 2018.

Iklan
Iklan