Iklan

Penguatkuasaan agama mesti selari undang-undang, kata Mujahid

Looi Sue-Chern6 years ago14th Nov 2018Berita
Badar squad nov 14
Skuad Badar diminta untuk mengikut lunas undang-undang dalam menjalankan aktiviti pencegahan maksiat supaya tidak disalah fahami. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.
Iklan

SEBARANG penguatkuasaan agama mesti dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau mengulas mengenai kumpulan pencegah maksiat Skuad Badar di Sungai Petani. Skuad Badar sebelum ini dilaporkan melakukan pantauan di samping menangkap dan menasihati pasangan khalwat.

Kumpulan ini beroperasi secara “tidak sah”, tanpa mendapat keizinan daripada mana-mana pihak berkuasa agama atau penguatkuasa persekutuan atau negeri dalam tindakan mereka sebagai polis moral.

“Penguatkuasaan mesti selari dengan peruntukan undang-undang,” kata Mujahid kepada The Malaysian Insight.

“Mereka yang mengambil tindakan undang-undang sendiri atas nama Islam telah mencemarkan perbuatan dan niat baik mereka.”

Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam itu berkata beliau akan menyerahkan isu itu kepada exco hal ehwal agama Islam Kedah, Dr Ismail Salleh.

“Dr Ismail telah berikan komen mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul juga telah berikan komen, mereka sampaikan mesej dengan baik,” tambah Mujahid.

Ismail berkata skuad itu perlu mendapatkan pendaftaran secara sah sebagai kumpulan dan harus menghubungi pihak berkuasa agama negeri.

Sementara itu, Johari berkata apa yang dilakukan Skuad Badar yang menangkap pasangan dan membawa mereka ke tanah perkuburan Islam untuk kaunseling disifatkan sebagai “berlebihan”.

Skuad Badar terdiri daripada 20 hingga 40 orang yang memantau hotel murah hampir setiap hujung minggu bagi mencari pasangan bujang yang melakukan seks haram.

Mereka yang ditangkap kemudian akan dibawa ke tanah perkuburan Islam di mana mereka akan “diberi kaunseling”.

“Niat mereka baik tetapi kami mempunyai undang-undang untuk tangani pasangan itu, tidak tepat untuk bawa mereka ke tanah perkuburan. (Perbuatan) itu berlebihan,” kata Johari.

Ahli Parlimen itu berkata skuad tersebut perlu bertindak dengan mengikut undang-undang dan bekerjasama dengan jabatan agama negeri dan pihak polis supaya mereka tidak disalah fahami orang ramai. – 14 November, 2018.

Iklan
Iklan