Adun Kebun Bunga pertahan usul caj pemandu luar ke Pulau Pinang
Iklan
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga Jason Ong Khan Lee mempertahankan cadangannya agar kerajaan negeri mengenakan bayaran terhadap kenderaan luar yang mahu memasuki Pulau Pinang.
Katanya langkah itu mampu membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk menghapuskan tol bagi semua kenderaan yang menggunakan dua jambatan Pulau Pinang, bukan hanya terhad kepada motosikal sahaja.
Katanya kutipan bayaran yang dikenakan kepada pemandu luar dari Pulau Pinang boleh digunakan untuk menyelenggara jambatan itu.
“Jika mahu memenuhi janji itu, kerajaan perlu mencari sumber lain untuk membayar kos penyelenggaraan.
“Levi kenderaan bagi pemandu luar merupakan antara langkah yang sesuai,” katanya pada sidang media hari ini.
Adun PKR itu mengemukakan cadangan tersebut ketika membahaskan Bajet Pulau Pinang 2019 pada Selasa lalu.
Cadangan itu mencetuskan perdebatan dan reaksi berbeza dalam media sosial.
Walaupun dikritik banyak pihak, Ong berkata beliau mengalu-alukan pandangan orang ramai dan sebagai tulang belakang kerajaan, beliau perlu menyatakan idea untuk pertimbangan kerajaan negeri.
Beliau juga menyatakan rasa hairan apabila penduduk tempatan menyatakan bantahan sedangkan levi itu hanya dikenakan kepada penduduk luar Pulau Pinang.
“Penduduk dari Pulau Pinang dan bekerja di Pulau Pinang boleh dikecualikan termasuk mereka yang memiliki kenderaan yang bernombor pendaftaran bermula dengan huruf ‘P’.
“Saya pasti langkah ini tidak akan mengurangkan jumlah pelancong. Jumlah kenderaan yang berkurangan bermakna kualiti udara semakin bagus, kesesakan trafik juga berkurangan dan pelancong lebih selesa untuk melawat negeri ini.
“Mereka yang pernah ke Bangkok dan Medan pasti mengetahui kebenaran ini,” katanya merujuk kepada kesesakan trafik yang lebih teruk di dua bandar itu berbanding Pulau Pinang.
Berita penuh di sini.