Pulau Pinang cadang naikkan caj beg plastik 50 sen
Iklan
PENGGUNA di Pulau Pinang mungkin akan perlu membayar 50 sen bagi setiap plastik beg, sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan dasar pengurusan sisa plastik.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata kerajaan Pulau Pinang bercadang untuk menaikkan caj bagi setiap beg plastik yang diminta pembeli. Caj yang dikenakan ketika ini ialah 20 sen bagi setiap beg.
“Kami sedang pertimbangkan untuk menaikkan caj kepada 50 sen bagi setiap beg,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) malam ini.
Phee berkata kerajaan negeri juga merancang untuk menetapkan ketebalan beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna daripada 15 mikron kepada 40 mikron.
Program “No Free Plastic Bag” yang dilancarkan pada 2009 telah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengarahkan peruncit tidak memberi beg plastik kepada pembeli sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik serta meningkatkan kebersihan.
Program tersebut telah berjaya menggalakkan pembeli menggunakan beg yang boleh diguna semula ketika membeli belah.
Mulai 1 Januari, Pulau Pinang juga akan melaksanakan dasar “No to Single-Use Plastic” secara berperingkat. Dasar ini akan dimulakan dengan larangan straw minuman di seluruh negeri.
Kerajaan negeri melalui Penang Green Council telah memaklumkan masyarakat dan pengusaha restoran mengenai dasar mengharamkan plastik gunaan tunggal, iaitu straw minuman. – 15 November, 2018.