Iklan

2 pemaju hartanah dikaitkan dengan kes rasuah Ku Nan

Kamles Kumar6 years ago16th Nov 2018Berita
Tengku adnan tmi 01
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa dengan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.
Iklan

NAMA Tengku Adnan Tengku Mansor dikaitkan dengan 97 urus niaga meragukan, tetapi hanya dua pemaju hartanah dikenal pasti memberikan rasuah kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan itu untuk membantu mendapatkan projek besar.

Bekas setiausaha agung Umno, yang juga dikenali sebagai Ku Nan, semalam didakwa menerima rasuah sehingga RM3 juta daripada dua pemaju hartanah terkenal.

Pengerusi Aset Kayamas, Chai Kin Yong didakwa memberi bekas menteri itu RM2 juta apabila syarikatnya terlibat dengan projek di bawah kementerian Ku Nan.

Terdapat 14 projek yang menghubungkan kementerian dengan Aset Kayamas dan anak syarikatnya termasuk inisiatif seperti Perumahan Awam 1Malaysia (PP1AM) dan Program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Bekas perdana menteri Najib Razak melancarkan program PP1AM dengan Chai pada 2015. Taikun harta itu juga membiayai kempen hari kebangsaan The Star, “Raise The Flag”, tahun lepas.

Pada Jun tahun ini, Aset Kayamas memberi rangsangan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan peminat bola sepak di seluruh negara dengan menaja RM1.2 juta untuk tontonan secara langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018.

Chai juga mempunyai kepentingan dalam Peramaju Industries Berhad yang berpangkalan di Sabah, mengedarkan kereta Volkswagen dan Ford di sini. Permaju adalah satu daripada pemain terkemuka dalam industri pembalakan.

Bagaimanapun, taikun berusia 60 tahun itu tidak didakwa bersama Tengku Adnan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata beliau masih dalam siasatan.

Ahli perniagaan Tan Eng Boon didakwa atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM1 juta kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

Namun, pemaju hartanah, Tan Eng Boon, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, pada masa yang sama Ku Nan dituduh di mahkamah berasingan.

Ahli perniagaan berusia 70 tahun itu adalah ketua Joland Group Sdn Bhd, syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Johor.

Tan mempunyai perniagaan di Johor dan Singapura. Beliau juga mempunyai projek pembangunan bercampur di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang mana beliau mendakwa membayar Ku Nan RM1 juta untuk melancarkan urus niaga itu.

Anak-anaknya, Edwin Tan dan Godwin Tan, menjalankan Paragon Adventure yang mengambil alih syarikat seramik tersenarai awam, Goh Ban Huat Berhad.

Ahli perniagaan Johor itu pernah menjadi tajuk utama akhbar beberapa tahun lalu apabila beliau membelanjakan RM6 juta untuk menempah S.E.A. Akuarium di Resorts World Sentosa, Singapura, untuk majlis perkahwinan anaknya, Edwin.

Tan juga menghadiahkan Edwin sebuah Lamborghini sebagai hadiah perkahwinan pada 2013 bernilai RM3.65 juta.

Joland Group mempunyai portfolio pelaburan yang pelbagai termasuk sekolah Paragon Private dan International di Johor.

Melalui jenama Paragon, syarikat Tan sedang membangunkan Paragon@KL Northgate di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Peguam Tan, Faisal Moideen berkata SPRM menahan anak guamnya pada 25 Julai selepas disoal selama beberapa hari. Beliau dibebaskan pada hari berikutnya dengan ikat jamin sebanyak RM70,000.

Pada prosiding semalam, Faisal menggesa mahkamah agar tidak mengambil pasport Tan kerana beliau mempunyai kepentingan perniagaan di Singapura yang memerlukan perhatiannya.

Peguam itu juga berkata Tan menderita sakit tekanan darah tinggi dan akan mendapatkan rawatan di Singapura.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM700,000 dengan dua penjamin. Hakim juga memerintahkan Tan melaporkan diri kepada pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Mahkamah tidak meminta Tan menyerahkan pasportnya, tetapi diperintahkan untuk memaklumkan kepada mahkamah rancangan perjalanannya. – 16 November, 2018.

Iklan
Iklan