Anwar calon utama PM tapi siapa akan bebaskannya?
Iklan
TIADA kata sepakat mengenai siapa akan menjadi perdana menteri atau sementara Pakatan Harapan (PH) jika ia berjaya membentuk kerajaan seterusnya kata sumber, walaupun ia sudah bersedia berhadapan pilihan raya umum yang menurut spekulasi bakal diadakan tahun ini.
Difahamkan PKR mahu Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali, sementara DAP pula memilih Wan Azizah.
Komponen PH, Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) pula inginkan Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad atau Presiden Muhyiddin Yassin.
Sumber juga memberitahu The Malaysian Insight yang Amanah, satu daripada komponen PH mahu Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara memandangkan pengalaman luas pemimpin berusia 92 itu dalam kerajaan serta tidak mungkin mampu terus memegang jawatan itu kerana faktor usianya.
Pengampunan untuk Anwar
Apa yang dipersetujui adalah, sesiapa yang dipilih akan memastikan pembebasan mantan ketua pembangkang Anwar Ibrahim melalui pengampunan diraja bagi membuka jalan kepada pemimpin berusia 69 tahun itu menjadi perdana menteri.
Pesaing PH, Barisan Nasional (BN) membuat kesimpulan mengenai ketidakpastian ini dengan menegaskan PH dan PPBM tidak dapat bersetuju mengenai prinsip asas memilih seorang perdana menteri, apatah lagi mentadbir negara ini jika mereka menang.
Keputusan PH mengenai Anwar ini berdasarkan kaji selidik yang menunjukkan beliau masih menjadi pilihan popular sebagai perdana menteri di kalangan sebahagian besar pengundi walaupun pada hakikatnya masih di dalam penjara.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, idea perdana menteri sementara ditimbulkan semasa mesyuarat Muhyiddin dengan Anwar di luar mahkamah pada Oktober tahun lepas.
Ia adalah mesyuarat pertama Muhyiddin dengan Anwar selepas beliau membentuk PPBM, parti pembangkang terbaru yang sebahagian besarnya terdiri daripada bekas pemimpin Umno dan ahli yang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak.
Sumber berkata, Anwar tidak bersetuju dengan idea menjadikan Muhyiddin perdana menteri sementara tetapi ia mendapat sambutan di kalangan sesetengah puak dalam PH dan PPBM.
Parti komponen PH, Amanah dan DAP bersetuju dengan cadangan pemimpin kanan PKR – sama ada Wan Azizah atau Azmin – menerajui kerajaan manakala proses membebaskan Anwar dimasukkan ke dalam usul.
Ketika dihubungi, pemimpin PH dan PPBM berkata isu itu kecil berbanding usaha meneruskan penyatuan, meluaskan pergerakan pembangkang untuk mengalahkan BN.
“Siapa calon berkenaan masih diperbincangkan. Ia boleh jadi Muhyiddin atau orang lain,” kata Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Abdul Kadir Jasin.
“Tetapi ia akan menjadi satu keperluan praktikal apabila pakatan pembangkang menang pilihan raya dan perlu membentuk kerajaan. Seseorang perlu mencadangkan kepada Agong bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar,” kata Kadir apabila ditanya mengenai perbincangan dalaman mengenai isu itu.
Seorang lagi wakil PH berkata, isu sama ada mempunyai perdana menteri sementara dan sama ada untuk mengumumkan calon sebelum pilihan raya belum secara rasmi dibincangkan.
Keutamaan utama PH dan PPBM adalah mendapatkan jentera parti masing-masing untuk bekerjasama, berbincang dan menghasilkan manifesto bersama serta perundingan lebih meluas dengan parti pembangkang lain untuk menentang BN dalam pertemuan satu lawan satu, kata beliau yang enggan dikenali.
Perbalahan dalaman
Menurutnya, terdapat perbezaan dalam parti PH sama ada untuk mengumumkan perdana menteri sementara sebelum atau selepas pembangkang mengambil alih kerajaan bagi mengelakkan isu ini dieksploitasi pihak lawan.
Dr Mahathir mewakili berpendapat yang keputusan perlu dibuat jika PH dan PPBM memenangi pilihan raya.
“Tiada gunanya berpecah-belah dan bergaduh berhubung isu ini sedangkan kami tidak pernah memenangi pilihan raya,” kata Dr Mahathir berulang kali kepada media ketika ditanya mengenai calon pembangkang untuk perdana menteri.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, fokus utama PH dan PPBM adalah untuk bersetuju dengan manifesto bersama, dasar, agenda pembaharuan dan membebaskan Anwar.
“Kami akan memutuskan isu ini (perdana menteri sementara) berdasarkan keputusan selepas pilihan raya. Apa yang penting adalah Anwar akan menjadi perdana menteri,” kata Khalid.
Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah, tidak bersetuju dengan keseluruhan idea mengenai perdana menteri sementara kerana ini akan mengelirukan pengundi.
“Kita perlu mempunyai calon perdana menteri yang betul dengan Kabinet sepatutnya. Perdana menteri sementara akan kelihatan seperti itik tempang,” kata Saifuddin.
Saifuddin, yang juga ahli PKR enggan mengulas mengenai idea Wan Azizah atau Azmin menjadi perdana menteri sementara.
Tan Keng Liang daripada BN berkata, ketidakmampuan membuat keputusan dan idea Anwar masih layak adalah kesilapan fundamental PH dan sekutunya, yang menjadikan mereka tidak layak memerintah.
“Ia perkara biasa bagi mana-mana pihak pembangkang dalam negara demokrasi menamakan perdana menteri pilihan mereka,” kata Tan yang juga ketua Pemuda Gerakan.
“Ia pelik kerana pihak pembangkang di Malaysia tidak dapat memberikan gambaran jelas siapa yang akan menjadi perdana menteri. Secara peribadi, saya rasa Anwar sudah menjadi ikon masa lalu dan tidak lagi boleh menjadi ‘perdana menteri pilihan’.”
Bagaimanapun, kajian dijalankan badan pemikir Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan Anwar muncul di tangga teratas di kalangan semua pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir, Muhyiddin, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai paling layak menjadi perdana menteri.
Pengarah IDE Prof Shaharuddin Badaruddin berkata, kajian pada November menunjukkan 30% daripada lebih 1,700 responden di Selangor memilih Anwar sebagai paling layak untuk menjadi perdana menteri.
Ini diikuti Dr Mahathir sebanyak 24%, Muhyiddin (17%), Lim (15%) dan Hadi (14%).
“Walaupun dilakukan di Selangor, ia boleh digunakan sebagai petunjuk bagi negeri pantai barat Semenanjung yang mempunyai demografi sama dengan Selangor,” kata Shaharuddin, seorang saintis politik.
Hasil kajian mempertikaikan tanggapan Anwar tidak lagi relevan, kata Shaharuddin, kerana bekas timbalan perdana menteri itu masih mampu memperoleh sokongan walaupun di dalam penjara. – 1 April, 2017.