Iklan

Mahkamah arah PRK bagi kerusi Rantau

Kamles Kumar6 years ago16th Nov 2018Berita
Mohamad hassan rantau 161118 tmiseth 02
Kemenangan tanpa bertanding bekas menteri besar Mohammad Hassan turut diisytiharkan sebagai tidak sah dan batal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2018.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Seremban hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk kerusi DUN Rantau dalam pilihan raya umum 9 Mei tidak sah.

Hakim Azimah Omar memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak dengan salah kerana tidak membenarkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy memfailkan kertas penamaan untuk pilihan raya di kerusi itu.

Azimah juga mengarahkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan untuk kerusi itu.

“Mahkamah benarkan petisyen pilihan raya yang difailkan. Mohamad Hasan tidak sah menjadi wakil rakyat Rantau.

“Responden pertama (Mohamad) tidak dipilih dengan sah. Satu pilihan raya kecil harus diadakan di Rantau,” kata Azimah ketika membacakan keputusannya.

Mahkamah turut memerintahkan pegawai pengurus pilihan raya membayar kos RM20,000 kepada Dr Streram.

Bagaimanapun, PRK hanya akan diadakan selepas keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan mengekalkan kerusi itu dalam pilihan raya umum 9 Mei tanpa sebarang pertandingan kerana Streram tidak memfailkan kertas penamaannya.

Streram mendakwa beliau tidak berjaya memfailkan kertas penamaan kerana dihalang oleh pegawai pengurus pilihan raya pada hari penamaan, 28 April.

Beliau seterusnya memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau.

Streram mendakwa, pegawai pengurus pilihan raya Amino Agos Suyub dan SPR melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana menyekat beliau daripada memasuki pusat penamaan.

Streram berkata beliau membayar wang deposit sebanyak RM5,000 untuk mendaftar sebagai calon dan RM3,000 untuk deposit bahan kempen pada 25 April.

Katanya, SPR pada waktu itu tidak menyatakan bahawa tanda nama dan pas masuk diperlukan untuk calon dan wakil memasuki pusat penamaan.

Mahkamah sama pada pada 11 Oktober lalu menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas Amino Agus atas kesalahan menghina mahkamah. – 16 November, 2018.

Iklan
Iklan