Iklan

Wang ikat jamin Guan Eng disumbang kepada dana biasiswa Pulau Pinang

Looi Sue-Chern6 years ago16th Nov 2018Berita
Penang ftr dloh-0550
Wang tersebut berjumlah RM1.038 juta termasuk faedah akan digunakan sebagai biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia yang layak untuk menyambung pengajian mereka dalam negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.
Iklan

WANG ikat jamin RM1 juta yang dibayar bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk kes rasuah banglow Jalan Pinhorn dua tahun lepas, akan didermakan kepada Penang Future Foundation (PFF) yang ditubuhkan kerajaan negeri.

Wang tersebut berjumlah RM1.038 juta termasuk faedah akan digunakan sebagai biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia yang layak untuk menyambung pengajian mereka dalam negara.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata parti berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menderma mengumpul RM1 juta untuk ikat jamin Lim yang kemudiannya dibebaskan daripada pertuduhan rasuah itu pada 2016.

Katanya, rakyat bukan sahaja menyumbang semasa kerajaan negeri berdepan masalah, tetapi juga menyumbang untuk Malaysia Baharu.

“…Diputuskan DAP untuk diagihkan kepada Program Biasiswa Penuh Penang Future Foundation (PFF) agar memberi insentif kepada generasi muda Malaysia Baharu supaya dapat mencontohi pengorbanan wira-wira seperti Saudara Lim Guan Eng dari DAP.”

Pada awal September lepas, Lim, yang kini menteri kewangan dan bekas tuan tanahnya, Phang Li Khoon dibebaskan daripada pertuduhan rasuah melibatkan banglow Jalan Pinhorn.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk menerima habuan dalam pembelian banglow itu daripada Phang pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai hartanah itu dianggarkan pada RM4.27 juta pada 28 Julai 2015- satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Phang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lepas berkaitan pembelian itu.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapat habuan untuk dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan syarikat Magnificient Emblem untuk mengubah status tanah pertanian kepada perumahan semasa mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri pada 18 Julai 2014- satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phang dilaporkan adalah pengarah syarikat tersebut.

Jagdeep juga berkata yayasan dan program biasiswa itu yang sudah membantu hampir 300 pelajar sejak 2015 akan membantu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hub bakat, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara.

“Kerajaan negeri mengambil berat tentang pengaliran keluar bakat-bakat anak Pulau Pinang. Negeri ini merupakan negeri yang kedua terkecil di Malaysia dan tidak mempunyai komoditi dan sumber semula jadi seperti bahan api fosil bagi mempertingkatkan ekonomi. Justeru, komoditi terutama kami adalah bakat-bakat tempatan.

“Oleh kerana terdapatnya bakat-baka, Pulau Pinang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita yang ketiga tertinggi di Malaysia pada tahun 2017,” katanya. – 16 November, 2018.

Iklan
Iklan