Iklan

Projek penambakan penting untuk tampung pertambahan populasi, kata ketua menteri

Looi Sue-Chern6 years ago16th Nov 2018Berita
Penang ftr dloh-0462 (1)
Projek Penambakan Pulau Pinang Selatan bertujuan menampung pertambahan penduduk di negeri ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.
Iklan

PROJEK Penambakan Pulau Pinang Selatan amat penting bagi menampung pertambahan penduduk di negeri ini menjelang 2030, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

Katanya pada masa itu dianggarkan lebih dua juta penduduk menetap di Pulau Pinang dan pulau itu yang kini sudah padat, tidak mampu menampung pertambahan penduduk.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum sering mempersoalkan ramalan pertambahan penduduk yang digunapakai oleh kerajaan negeri bagi menjustifikasikan projek tersebut yang melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan di selatan Pulau Pinang.

Chow berkata ada NGO, yang tidak didedahkan namanya, sekadar membuat andaian tentang angka berkait pertambahan penduduk.

“Baru-baru ini saya diberi maklumat tentang jumlah populasi oleh Jabatan Statistik. Pada 2017, jumlah penduduk di negeri ini adalah seramai 1.7 juta orang.

“Angka itu mungkin bertambah kepada 1.8 juta pada tahun ini. Pertambahan populasi ini kebiasaanya 25,000 hingga 30,000 orang,” katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Pada 1990, Pulau Pinang mempunyai 700,000 penduduk dan 28 tahun kemudian angka itu meningkat menjadi 1.7 juta.

“Menjelang 2030, kita menganggarkan populasi di negeri ini mencecah 2.4 juta. Jika tidak pun, jumlah itu akan mencapai 2.2 juta atau 2.3 juta.

“Projek ini yang dilaksanakan bersama rakan strategik ini menggunakan statistik yang sedia ada (untuk ramalan populasi),” katanya merujuk kepada SRS Consortium. – 16 November, 2018.

Berita penuh di sini.
 

Iklan
Iklan