Saya akan bertanding di Rantau, kata bekas calon Pakatan PRU14
Iklan
PAKAR bius Dr Streram Sinnasamy akan mempertaruhkan namanya untuk merebut kerusi DUN Rantau selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban memihak kepada samannya dan mengosongkan kerusi itu.
Timbalan Ketua PKR Rembau itu yang hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agus Suyub menolak kertas pencalonannya.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan yang kini Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Streram, 63, berkata beliau yakin Pakatan Harapan akan memilihnya sebagai calon kerana beliau adalah penyelaras DUN Rantau dan mempunyai hubungan baik dengan Menteri Besar Aminuddin Harun.
“Saya akan bertanding. Ketika ini, saya sudah berbincang dengan MB (Aminuddin). Saya perlu maklumkan kepada kepimpinan tertinggi (PKR) esok selepas kongres kami.
“Saya sudah buat kerja di Rantau selama dua tahun setengah. Saya dilantik jadi penyelaras kerusi negeri,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui.
Katanya, pengundi Rantau juga mengenalinya kerana beliau sudah menganjurkan pelbagai program mendekati rakyat.
Kerusi Rantau mempunyai 20,000 pengundi dengan komposisi kaum 50% Melayu, India (27%), Cina (19%) dan lain-lain 1%.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah mengumumkan yang Mohamad akan bertanding sekali lagi di Rantau.
Streram juga menafikan peluang Mohamad kembali menang di kerusi itu tinggi, berkata yang Umno sedang berada dalam “kedudukan yang teruk” sekarang.
“Tak kisah pun jika dia (Mohamad) bertanding.
“Malah dulu (sebelum PRU14) dia adalah MB, tapi saya rasa boleh menang,” katanya.
“Sekarang, dengan kerajaan negeri dan persekutuan adalah PH, peluang saya makin tinggi (untuk menang).”
Penghakiman dikeluarkan mahkamah hari ini menjadikan PRK Rantau adalah pilihan raya kecil kelima selepas PRU14 Mei lalu.
Streram berkata beliau rasa keadilan tertegak apabila hakim mengeluarkan penghakiman hari ini.
“Rakyat tak boleh dipandang ringan. Kedaulatan undang-undang perlu sentiasa dilaksanakan,” katanya.
Selepas prosiding hari ini, Mohamad memberitahu wartawan yang beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan susulan.
Timbalan presiden Umno itu boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Bulan lepas, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepada pegawai pilihan raya Rantau, Amino seleps didapati bersalah mengacau pentadbiran keadilan apabila menganggu persediaan saksi dalam perbicaraannya. – 16 November, 2018.