Ambil tindakan terhadap kes pengedaran Bible, gesa NGO Islam
Iklan
SEBUAH pertubuhan Islam menggesa pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu kontroversi pengedaran kitab Bible di sebuah sekolah di Pulau Pinang dan memberi amaran untuk melancarkan tunjuk perasaan selagi pihak bertanggungjawab tidak dihukum.
Kumpulan Jemaah Fisabilillah Pulau Pinang berkata pihaknya juga akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, iaitu ketua agama Islam negara bagi menyuarakan kebimbangan itu.
“Mereka kini berani mengedar di sekolah, dan Jemaah Fisabilillah memberi amaran keras. Kita akan mengambil tindakan jika isu ini tidak diselesaikan,” kata seorang daripada pemimpin kumpulan itu, Mohd Nasir Md Ali.
“Jangan bersikap lepas tangan. Kita patuh pada undang-undang tetapi kita lebih takut kepada Allah,” katanya pada sidang media di Bukit Mertajam hari ini.
Kontroversi pengedaran Bible tercetus pada awal bulan ini apabila kegiatan itu tular dalam media sosial yang menunjukkan beberapa individu mengedarkan kitab tersebut di depan sebuah sekolah di Bukit Mertajam.
Difahamkan bahawa polis menerima lapan laporan di Penang dan beberapa negeri lain berhubung kejadian itu dan mengambil keterangan daripada 29 orang termasuk enam suspek, pengetua sekolah, staf dan pelajar.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid baru-baru ini berkata pelajar yang menerima kitab itu menyerahkan bahan bacaan itu kepada pihak pengurusan sekolah.
Katanya polis merujuk siasatan itu kepada pendakwa raya awam untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi pemimpin Jemaah Fisabilillah, Mohd Foad Mat Isa berkata aktiviti pengedaran Bible perlu dihentikan dan pihak berkuasa perlu mengingatkan orang ramai bahawa agama Islam merupakan agama rasmi negara.
“Kita hanya mahu pihak berkuasa menjaga agama (Islam),” katanya sambil memberi amaran kepada piuhak berkuasa agar tidak mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung kontroversi ini.
“Kita mempunyai ramai ahli. Setakat ini kita minta mereka bersedia. Jika pihak berkuasa tidak menyelesaikan isu ini dengan baik, orang ramai akan mula menyuarakan kemarahan mereka.” – 16 November, 2018.