Iklan

Kemelut PKR bakal jejas peluang Anwar jadi PM, kata Rafizi

Kamles Kumar6 years ago18th Nov 2018Berita
Kongres nasional keadilan ke-13 20181118 tmiafif 15
Kemelut ketika pemilihan tidak boleh berterusan kerana ia akan jejaskan peluang Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 November, 2018.
Iklan

KEMELUT berterusan dalam PKR hanya akan menjejaskan peluang Presiden Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri, Rafizi Ramli memberi amaran hari ini.

Katanya, jika kemelut dalam PKR berterusan, ia akan memberi gambaran buruk kepada kepimpinan Anwar apabila rakyat mempersoalkan keupayaannya untuk menyatukan parti apatah lagi mentadbir negara.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan (pemilihan). Selepas kongres kita perlulah menumpu sepenuh perhatian untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

“Pemilihan berpanjangan melangkaui kongres hari ini akan menyebabkan Anwar (menjadi sasaran) serangan. Kerana akan ada suara yang mengatakan kegagalan pemilihan (berjalan) lancar bermakna kegagalan Anwar,” katanya. 

Bekas ahli Parlimen Pandan itu turut menambah yang orang luar mungkin akan mengambil kesempatan untuk memperlekeh Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.

“Ia perlu diuruskan melalui mekanisme dalaman parti agar tidak membuka ruang kepada orang luar untuk menuduh dan melemahkan parti.

“Saya yakin Anwar sebagai presiden selepas ini akan berupaya memastikan jika ada perkara yang perlu diselesaikan berkaitan pemilihan, ia akan ditangani dengan baik,” katanya. 

Beliau juga mendedahkan terdapat pemimpin tertinggi parti yang tidak menyokong Anwar sebagai ketua negara seterusnya.

“Saya tengok chat WhatsApp dan Facebook, ada kepimpinan tertinggi yang tak percaya Anwar sebagai PM. Ada yang mengulangi konon masa Anwar sudah berakhir. Ada yang kata (tiba) masa (calon) yang baru pula. Ada kata-kata macam-macam.

Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan konsensus empat parti Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 November, 2018.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi merendah-rendah atau membuka ruang kepada orang luar untuk menyerang parti dan Anwar sebagai perdana menteri kelapan, (perkara) itu saya minta hentikan.

“Kita menghormati perbezaan pandangan, tapi kita tidak boleh berbeza pandangan mengenai siapa perdana menteri kelapan,” katanya merujuk kepada Anwar.

Konsensus empat parti Pakatan Harapan bersetuju Anwar akan menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

Pemilihan PKR yang berlangsung selama sembilan minggu sengit dengan kewujudan dua kem, satu diketuai oleh penyandang Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan satu lagi diterajui Rafizi.

Rafizi bagaimanapun mengaku kalah semalam kepada Azmin dan menyeru parti perpadu demi Anwar. – 18 November, 2018.

Iklan
Iklan