PKR lulus usul Wan Azizah kekal jadi TPM
Iklan
PKR hari ini meluluskan usul Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai timbalan perdana menteri sehingga Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata mengikut perjanjian yang dibuat dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Wan Azizah akan kekal memegang jawatan tersebut walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.
“Saya ingin syorkan Wan Azizah kekal sebagai TPM sehingga peralihan kuasa berlaku. Setuju atau tidak?” soal beliau kepada lebih 1,000 perwakilan pada Kongres Ke-13 PKR di Shah Alam hari ini.
Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu kemudian meminta para perwakilan berdiri jika bersetuju dengannya. Semua perwakilan berdiri dan memberikan tepukan gemuruh.
Saifuddin juga berkata PKR sekarang ini sebuah parti pemerintah dan perlu menetapkan naratifnya sendiri, daripada terperangkap dengan isu-isu yang dibawa oleh pembangkang seperti perkahwinan bawah umur dan Oktoberfest.
Sebelum Pilihan Raya Umur Ke-14, PH membuat perjanjian bahawa Dr Mahathir Mohamad akan jadi perdana menteri, Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri dan Anwar perdana akan jadi perdana menteri kelapan.
Bagaimanapun, hak melantik menteri terletak di tangan perdana menteri, bukan parti. – 18 November, 2018.