Ribuan berarak di Alor Setar, bantah isu Bible dan ICERD
Iklan
RIBUAN orang Islam berarak di Alor Setar, Kedah pagi tadi untuk membantah kes pengedaran Bible dan rancangan kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Walaupun hujan turun pagi tadi, peserta perarakan berkumpul di Masjid Sultanah Bahiyah pada jam 9 pagi untuk menyertai perarakan yang dianjurkan Skuad Badar Kedah itu- kumpulan Islam berpangkalan di Sungai Petani yang baru-baru ini menjadi tumpuan berita selepas menangkap dan memberi “kaunseling” kepada pasangan yang ditangkap berkhalwat.
Tidak lama selepas mendengar ucapan penceramah jemputan, mereka berarak hampir 2km ke Wisma Darul Aman yang menempatkan pejabat kerajaan negeri, untuk menghantar memorandum kepada Exco Agama Kedah Dr Ismail Salleh.
Antara penceramah dan personaliti terkenal yang hadir ialah Ustaz Ahmad Husam Badarudin, Yusuf Azmi daripada Semboyan 1Malaysia dan Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zalnudin yang juga dikenali sebagai Zamri Mantop.
Ketua Skuad Badar Azhar Mohamad berkata kitab Bible yang diedarkan beberapa bulan lalu di kawasan perumahan di Sungai Petani dan Baling oleh seorang lelaki Cina dan seorang lelaki warga asing.
Kitab Bible itu ditemui dalam peti surat dan halaman masjid, dakwanya.
Sebelum kejadian itu, dilaporkan awal bulan ini yang beberapa individu turut mengedar kitab Bible di depan sebuah sekolah rendah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Yusuf, seorang aktivis terkenal berkata pengedaran Bible itu nampaknya usaha “menganggu” sensitiviti orang Islam.
“Tidak ada penceramah Islam yang pernah mengetuk pintu orang bukan Islam untuk menyebarkan Islam. Tiada orang Islam yang pernah pergi ke gereja atau kuil untuk menyebarkan Islam.
“Kami bukan kurang ajar. Kami juga bukan rasis. Kami hanya mahu mempertahankan Islam. Kami juga menghormati agama lain,” katanya kepada wartawan di pintu utama Wisma Darul Aman selepas menyerahkan memorandum itu kepada seorang pegawai pejabat exco.
Yusuf berkata sepatunya satu aduan sahaja sudah mencukupi untuk pihak berkuasa bertindak, apatah lagi dengan khalayak seramai perarakan itu yang berhimpun kerana Islam.
Sejak sekian lama, agama adalah isu sensitif di Malaysia, dan merupakan kesalahan berdakwah agama lain kepada orang Islam.
Husam juga berkata, kerajaan perlu bertindak tegas dalam isu pengedaran Bible dan isu ICERD.
Kumpulan orang Islam sudah membantah rancangan kerajaan persekutuan untuk meratifikasi konvensyen PBB, ICERD kerana bimbang ia menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kedudukan istimewa kepada Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak.
Bantahan ini terus kedengaran walaupun beberapa menteri sudah menjelaskan yang ICERD tidak akan melanggar perlembagaan atau mengancam kedudukan Islam dan orang Bumiputera.
“Tiada politik di sini. Ada orang PAS, Umno dan Pakatan Harapan yang menyokong dan menyertai perarakan ini,” kata Husam yang dijemput Skuad Badar.
“Tindakan perlu diambil (terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu keamanan dan kesejahteraan), jika tidak konflik kaum akan bertambah teruk. Tiada siapa mahu satu lagi 13 Mei,” katanya, merujuk kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Kumpulan itu juga mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang bertanggungjawab ke atas isu perpaduan negara dan kesejahteraan sosial. Waytharmoorthy adalah menteri bertanggungjawab dalam rancangan kerajaan meratifikasi ICERD.
Mereka memetik kenyataan pemimpin Hindraf itu yang mendakwa berlaku diskriminasi dan pelanggaran hak asasi di Malaysia, orang India dipinggirkan dan ramai antara mereka dipaksa menukar agama jika mereka mahu bekerja dalam kerajaan dan mendapatkan biasiswa.
Kenyataan itu dilaporkan dikeluarkan tujuh tahun lepas di luar negara. Video rakaman lama juga kembali tular di media sosial.
Sebelum itu, dalam ucapannya di masjid sebelum berarak ke Wisma Darul Aman, Yusuf turut menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil tindakan ke atas Waythamoorthy.
Di masjid sama, Zamri turut menggesa orang Islam untuk berjuang serta meluahkan bantahan kepada kerajaan supaya membela Islam dan hak Melayu yang merupakan majoriti negara ini.
Penganjur perarakan menjangkakan terdapat antara 3,000 hingga 5,000 hadiri hari ini walaupun polis di Wisma Darul Aman hanya berkata hadirin hanya lebih 1,000 orang. Tiada kejadian buruk berlaku.
Azhar berkata jika pihak berkuasa masih tidak bertindak, mereka akan menghimpunkan 10,000 orang pada perarakan akan datang.
Pemimpin perarakan juga berharap dapat bertemu exco, Ismail tengahari ini di Wisma Darul Aman untuk membincangkan dua isu yang jadi kebimbangan orang Islam itu. – 18 November, 2018.