Sekali lagi, Azmin luah kesetiaan kepada Anwar
Iklan
TIMBALAN Presiden PKR Azmin Ali sekali lagi meluahkan sokongan kepada Presiden Anwar Ibrahim dan berikrar bekerjasama dengannya.
Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata kesetiaannya kepada Anwar tidak berbelah bahagi, malah beliau pernah menarik pencalonan jawatan timbalan presiden untuk memberi laluan kepada Syed Husin Ali atas permintaan Anwar.
“Sedekad lalu, saya mula tawarkan diri sebagai timbalan presiden. Saya mahu melawan Syed Husin Ali.
“Anwar panggil saya dan beritahu “Azmin, jangan lawan Syed Husin, dia cikgu saya’.
“Jadi bila dia nasihatkan saya, saya tarik diri. Jika saya boleh tarik diri…,” kata Azmin sambil menjeling kea rah Rafizi Ramli yang kalah tipis dalam perlawanan merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Azmin juga berkata bukan mudah untuknya menjadi timbalan presiden PKR kerana juga berdepan cabaran bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim dan bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim satu ketika dahulu.
“Saya bukan di sini dengan tiket percuma. Saya dah berjuang untuk tempat saya dah lama. Sebelum ini, (berdepan) Zaid dan Khalid.
Walaupun berdepan cabaran, Azmin berkata beliau kekal “tenang”, menambah yang mereka yang tenang akan mendapat ganjaran diakhirnya.
“Anwar nasihatkan saya untuk jadi tenang. Tetapi, saya kata bagaimana nak kekal tenang jika saya diserang kiri kanan. Anwar kata ‘jika awak kekal tenang, awak akan berjaya sepanjang hidup’,” katanya.
Ahli Parlimen Gombak itu juga menggesa ahli parti untuk berbaik-baik dan menyokong Anwar selaku presiden baharu.
“Semuanya okay, tetapi kita tak mahu bergaduh macam perang dunia ketiga. Jika ada pemimpin yang matang, semua masalah ini boleh selesai dengan mudah.
“Saya merayu kepada anda semua, jangan khianati perjuangan ini,” katanya.
Pemilihan PKR yang berlangsung sembilan minggu adalah pemilihan paling sengit parti pernah berlaku apabila menyaksikan dua kem diterajui Azmin dan Rafizi bertemput.
Jumaat lalu, Rafizi mengaku kalah kepada Azmin dan menggesa parti perlu bersatu demi Anwar. – 18 November, 2018.