Iklan

Anwar mahu Rafizi diberi kedudukan dalam kepimpinan tertinggi PKR

Kamles Kumar6 years ago18th Nov 2018Berita
Kongres nasional keadilan ke-13 20181118 tmiafif 54
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Rafizi Ramli patut diberikan jawatan dalam kepimpinan tertinggi kerana banyak menyumbang kepada parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 November, 2018.
Iklan

CALON timbalan presiden PKR yang kalah, Rafizi Ramli wajar diberikan jawatan dalam kepimpinan tertinggi, kata Presiden Anwar Ibrahim.

Katanya, ini adalah kerana Rafizi telah banyak menyumbang kepada parti terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Tengok rekod Rafizi di Invoke dan pendedahannya tentang skandal Barisan Nasional-Umno. Kita perlu bawa dia masuk ke dalam kepimpinan tertinggi,” kata Anwar dalam ucapannya pada hari terakhir Kongres PKR hari ini.

Pertempuran merebut jawatan timbalan presiden sengit apabila Rafizi mencabar penyandangnya, Azmin Ali sehinggalah minggu terakhir apabila Rafizi menyerah kalah.

Anwar menggesa ahli parti untuk mengetepikan perbezaan ketika pemilihan dan kini memberi tumpuan bersatu untuk mengukuhkan parti.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata Azmin wajar diberikan sokongan semua pemimpin kerana beliau sekarang mempunyai mandat majoriti ahli selaku timbalan presiden.

“Majoriti pilih Azmin. Jadi, kita perlu sokong dia.

“(Sokongan) ini bukan sahaja dalam jawatankuasa pusat tetapi di seluruh negeri,” kata Anwar. – 18 November, 2018.

MENYUSUL




 

Iklan
Iklan