Iklan

Saya campur tangan dalam pemilihan untuk selamatkan parti, kata Anwar

Kamles Kumar6 years ago18th Nov 2018Berita
Kongres nasional keadilan ke-13 20181118 tmiafif 57
Anwar Ibrahim hari ini diumumkan sebagai Presiden PKR baharu menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim , 18 November, 2018.
Iklan

MELIHAT kelemahan yang jelas sistem pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dalam ucapan pertamanya sebagai presiden PKR berjanji akan membaiki kelemahan tersebut.

Beliau berkata bahawa dirinya memantau pemilihan secara senyap namun terpaksa campur tangan ketika kontroversi meletus di pemilihan bahagian Julau di Sarawak yang didakwa wujud penggodaman dalam sistem pengundian.

Beliau berkata beliau terpaksa campur tangan dan memberitahu Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) parti untuk menerima keputusan Julau memandangkan jawatankuasa itu tidak mengumumkan pemilihan baru bagi menghalang parti itu daripada terus berpecah.

“Pada hari Selasa, kali pertama saya campur tangan. Saya mencadangkan tidak ada keperluan untuk adakan pemilihan semula.

“Cuma sahkan (keputusan) walaupun saya tidak gembira kerana terdapat kebocoran atau apa pun alasannya.

“Pengundian telah berlaku dan jika hasilnya terlambat ... Saya mahu menyelamatkan parti (dari kehancuran) dan supaya kongres ini dapat diadakan mengikut jadual,” kata Anwar dalam ucapannya semasa kongres PKR di Shah Alam.

Beliau berkata beliau telah bercakap dengan calon timbalan presiden, Rafizi Ramli mengenai perkara itu dan menghargai beliau kerana memahaminya.

Anwar menambah beliau tidak mahu sesiapa pun anggap hasil jawatan timbalan presiden PKR semata-mata ditentukan bahagian Julau.

Pemilihan bahagian Julau itu menjadi tajuk hangat berita kerana mempunyai lebih daripada 12,000 anggota baru hanya dalam satu hari. Pada hari pilihan raya di bahagian itu, Rafizi mendakwa tablet yang digunakan untuk proses e-undi telah digodam.

Beliau pada mulanya menggesa pemilihan semula diadakan di bahagian itu, mendakwa bahawa dirinya akan memenangi pilihan raya dengan angka pengundian dari bahagian Julau. 

Bagaimanapun, beliau kemudian mengakui kekalahan kepada Azmin, mengatakan bahawa perjuangan parti lebih penting daripada pertempurannya sendiri.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut berkata beliau kecewa dengan cara pemilihan parti itu diselaraskan selama enam minggu.

“Saya tidak gembira dengan pemilihan parti dan sistem. Saya memberitahu mereka (pihak) untuk berhenti menunjuk jari.

“Kita akui sistem ini lemah. Terdapat banyak percanggahan. Itu bererti ada kesilapan besar dalam penggunaan tablet,” kata Anwar.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata terdapat ahli JPP yang bertindak secara tidak jujur dalam menjalankan pemilihan.

“Kita pilih mereka daripada parti tetapi mereka menyalahgunakan kuasa mereka,” kata Anwar. – 18 November, 2018.

Iklan
Iklan