Iklan

Streram berhak bertanding di Rantau, kata Anwar

Kamles Kumar6 years ago18th Nov 2018Berita
Kongres nasional keadilan ke-13 20181118 tmiafif 53
Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongan kepada Dr Streram Sinnasamy untuk bertanding PRK Rantau. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 November, 2018.
Iklan

DR Streram Sinnasamy mendapat sokongan Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

Bercakap di Kongres PKR hari ini, Anwar berkata Streram berhak bertanding kerana beliau yang memfailkan petisyen pilihan raya sehingga membolehkan kerusi itu dikosongkan.

“Dr Streram telah dinafikan haknya untuk bertanding oleh pegawai SPR (pada PRU14). Apabila dinafikan haknya, beliau mencabarnya dan menang kes itu. (Perkara) itu sukar diketepikan,” kata Anwar pada ucapan pertamanya selaku presiden.

Wujud desakan untuk meletakkan calon Melayu atau wanita bagi PRK itu yang masih menunggu sama ada rayuan akan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Anwar menambah yang kerusi di Negeri Sembilan itu mempunyai jumlah penduduk India yang ramai dan amat sesuai parti meletakkan calon India.

“Di Rantau, populasi tertinggi pengundi adalah India. Antara yang tertinggi di Malaysia.

“Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan dalam kalangan pemimpin parti di Negeri Sembilan dan biro politik,” katanya.

DUN Rantau mempunyai lebih 20,000 pengundi, terdiri daripada Melayu (50%), India (27%), Cina (19%) dan lain-lain (1%).

Pada Jumaat, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban mengarahkan PRK dilakukan di Rantau selepas membatalkan kemenangan tanpa bertanding Barisan Nasional pada PRU14.

Hakim Azimah Omar berkata Streram dinafikan peluang untuk memfailkan pencalonannya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos yang menghalangnya masuk pusat penamaan pada 28 April.

Kerana tindakan Amino itu, kerusi Rantau dimenangi tanpa bertanding Mohamad Hasan yang kini timbalan presiden Umno.

Beliau sudah memegang kerusi itu sejak 2004 dan merupakan menteri besar Negeri Sembilan selama tiga penggal.

Mohamad mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, kegagalan berbuat demikian membolehkan SPR menetapkan tarikh PRK.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah mengumumkan yang Mohamad akan bertanding sekali lagi di Rantau. – 18 November, 2018.

Iklan
Iklan