Skuad Badar bertegas teruskan aktiviti anti khalwat
Iklan
SKUAD Badar, kumpulan Muslim yang berpangkalan di Sungai Petani yang mahu membanteras aktiviti khalwat di kalangan penganut Islam, terutamanya golongan belia, akan meneruskan aktiviti-aktivitinya, walaupun kaedah yang digunakan kumpulan itu hebat dikritik.
Pemimpinnya Azhar Mohamad berkata skuadnya telah menjelaskan aktiviti mereka kepada Exco Agama Kedah Dr Ismail Salleh petang semalam.
Beliau berkata Ismail menerima penjelasan itu dan tidak mengarahkan Skuad Badar untuk menghentikan apa yang beliau dan skuadnya jalankan.
“Masalahnya sekarang ialah kita dituduh melakukan ‘ikut nafsu’ ketika menjalankan operasi. Ia semua fitnah. Kami berjumpa exco pada hari Ahad untuk menjawab tuduhan itu.
“Kami berusaha untuk membendung maksiat kepada Tuhan, bukan mengikut keinginan kami. Kami juga beroperasi mengikut standard dan prosedur. Kami maklumkan pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk polis, mengenai apa yang kami jalankan.
“Kami tidak pernah melakukan apa sahaja yang kami suka atau apa-apa yang kejam atau ganas. Kami akan meneruskan kerja kami. Exco tidak mengatakan bahawa kami perlu berhenti. Beliau memberitahu kami untuk mematuhi undang-undang, “katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya selepas mesyuarat itu.
Selain Azhar, tujuh orang lain termasuk pendakwah bebas Ahmad Husam Badarudin menghadiri pertemuan satu jam dan bersama Ismail di pejabatnya di Wisma Darul Aman.
Skuad Badar sebelum ini dilaporkan memantau ke hotel-hotel murah dan melakukan serbuan terhadap pasangan khalwat di Sungai Petani selama dua tahun yang lalu. Selepas menangkap mereka, skuad membawa mereka ke tanah perkuburan tempatan untuk menjalani proses kaunseling.
Azhar sebelum ini berkata skuad itu, yang terdiri daripada sukarelawan, telah menangkap seratus pasangan, dan aktiviti itu membantu pembendungan aktiviti seks rambang.
Skuad itu juga sebelum ini dilaporkan tidak mempunyai keizinan daripada pihak berkuasa agama persekutuan atau negeri untuk melakukan serbuan.
Aktiviti kumpulan itu kemudiannya menerima kritikan daripada Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, yang melihat kaunseling di tanah perkuburan sebagai berlebihan, walaupun mempunyai niat yang baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, juga memberi ulasan bahawa mereka yang mengambil tindakan dengan mengenepikan undang-undang atas nama Islam boleh mencemarkan perbuatan dan niat baik mereka sendiri.
Bagaimanapun Azhar menegaskan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa yang kesalahan sebagai Muslim, dan mereka hanya memantau pemuda Islam, yang melakukan khalwat.
“Harap jangan putar belit dan fitnah Skuad Badar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa khalwat adalah masalah, memetik kes-kes yang ditemui skuad itu di hotel.
“Kami pernah dapat kes di mana kanak-kanak yang terlibat itu berumur 12 tahun. Hanya 12 tetapi sudah hamil. Agama apakah yang boleh menerima tingkah laku seperti itu?
Dalam jawapan WhatsApp semalam kepada The Malaysian Insight mengenai Skuad Badar, Ismail berkata: “Aktiviti penguatkuasaan mesti dengan kebenaran pihak berkuasa.”
Sebelum ini, beliau mengatakan tindakan skuad itu untuk membawa pasangan yang ditangkap dalam serbuan ke tanah perkuburan pada waktu malam untuk kaunseling adalah salah di sisi undang-undang.
Skuad tidak boleh sewenangnya melakukan serbuan, kerana operasi penguatkuasa undang-undang oleh agensi kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang mesti diikuti, katanya. – 19 November, 2018.