Iklan

Gobind akan bincang kes Fahmi Reza dengan Tommy

Kamles Kumar6 years ago19th Nov 2018Berita
Fahmi reza najib razak clown may 28
Fahmi Reza disabitkan bersalah kerana kes karikatur badut Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.
Iklan

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan berbincang dengan Peguam Negara Tommy Thomas tentang keputusan mahkamah tinggi mengekalkan hukuman ke atas Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Wakil rakyat DAP itu berkata walaupun sudah wujud moratorium ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tetapi ia tidak terpakai kepada kes yang sudah disabitkan hukuman.

“Ada moratorium, tetapi sama ada ia terpakai kepada kes yang disabitkan bersalah, itu saya kena bincang dengan AG (Tommy),” katanya kepada wartawan di Parlimen.

Tambahnya lagi, kementerian juga akan meneliti sama ada akan menghapuskan CMA atau memasukkannya ke dalam Kanun Keseksaan.

“Salah satu pandangan yang diutarakan adalah mungkin pendaftaran perlu dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan.

“Jadi mungkin kita akan lihat penghapusan 233 (CMA) tetapi kemudiannya Kanun Keseksaan akan diperkukuhkan untuk memasukkan peruntukan yang masih tiada di situ iaitu 233,” katanya.

Katanya, pindaan akan dibuat pada sidang Parlimen akan datang selepas mendapatkan nasihat polis dan pihak berkaitan.

Minggu lepas, mahkamah tinggi menyabitkan kesalahan ke atas Fahmi kerana memuat naik karikatur “menyinggung” bekas perdana menteri Najib Razak.

Tindakan itu mengundang kecaman kumpulan peguam, Lawyers for Liberty kerana menyekat kebebasan bersuara Fahmi yang dijamin Perlembagaan, menyifatkannya tauladan kes yang “merbahaya dan buruk” kepada semua rakyat Malaysia. – 19 November, 2018.

Iklan
Iklan