NGO Islam mahu Kedah beri kenyataan henti pengedaran Bible
Iklan
NGO Islam, yang mengambil bahagian dalam perhimpunan yang disertai ribuan orang di Alor Setar pada Ahad lalu bagi membantah penyebaran Bible di Kedah, mahu kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan yang menentang aktiviti itu.
Pendakwah bebas popular Ustaz Ahmad Husam Badarudin berkata kerajaan negeri harus memberi kenyataan tersebut bagi menghentikan aktiviti berkenaan.
Husam adalah antara individu dan personaliti Muslim yang menyertai perhimpunan anjuran Skuad Badar di Kedah. Beliau kemudian menyertai tujuh yang lain bertemu Exco Hal Ehwal Agama Kedah Dr Ismail Salleh di Wisma Darul Aman pada petang Ahad lalu.
“Semasa mesyuarat, kami timbulkan beberapa perkara dengan Ismail. Kami beritahu kepadanya tentang kebimbangan orang Islam bahawa Islam sedang diancam, berhubung peristiwa aktiviti pengedaran Bible. Kami berkongsi dengannya apa yang kami tahu mengenai isu ini.
“Kami juga bertanya mengapa kerajaan negeri tidak mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu. Dia memberitahu kami bahawa dia masih menunggu polis menyelesaikan siasatannya.
“Kami cadangkan ketika menunggu polis selesaikan siasatan, negara harus keluarkan kenyataan mendesak mereka yang mengedarkan Bible itu hentikan apa yang mereka lakukan,” kata Husam kepada The Malaysian Insight.
Pemimpin Skuad Badar Azhar Mohamad sebelum ini mengatakan beberapa individu telah mengedarkan Bible sekitar Sungai Petani sejak kira-kira sebulan yang lalu.
Salinan Bible telah dijumpai di kawasan kediaman dan juga di beberapa masjid.
Azhar juga berkata mereka mendengar beberapa hari lalu bahawa aktiviti itu juga berlaku di Baling.
Sebelum Kedah, Bible dilaporkan turut diedarkan di luar sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Foto-foto itu menjadi tular di media sosial, yang menyebabkan beberapa laporan polis dibuat di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
Polis mencatatkan kenyataan daripada 29 orang, termasuk enam suspek, pengetua sekolah, kakitangan dan pelajar; bagaimanapun tiada penangkapan dibuat.
Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan lima orang warga Nigeria yang mengedarkan majalah Kristian bertajuk ‘Rhapsody of Realities’ di George Town baru-baru ini. Mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Walau bagaimanapun, tidak ada tangkapan di Kedah mengenai insiden seumpama itu setakat ini.
Kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi adalah satu kesalahan untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam.
Seorang lagi pemimpin kumpulan Islam, Ali Selamat berkata, pihak berkuasa perlu mengetahui siapa yang bertanggungjawab terhadap pengedaran Bible, yang merosakkan ramai penganut Islam.
“Siapa di belakangnya? Bukannya hantu yang edar Bible, “kata Pengerusi Persatuan Pengguna Muslim Langkawi.
“Kami Muslim dan bukan Islam telah hidup bersama sebagai kawan sekian lama. (Apa yang kita minta) tidak ada kaitan dengan kaum atau ideologi. Kami semua kawan.” Katanya lagi. – 19 November, 2018.