Silakan saman, Loke beritahu Vigneswaran
Iklan
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke hari ini mencabar Presiden Dewan Negara Vigneswaran Sanasee memfailkan saman terhadap beliau.
Loke berkata beliau tidak memfitnah Vigneswaran, sebaliknya hanya mempertahankan kakitangan lapangan terbang terlibat.
“Itu hak beliau kalau mahu ambil tindakan undang-undang. Silakan.
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai menteri,” Loke memberitahu pemberita pada sidang akhbar hari ini.
Kontroversi selipar bermula Sabtu lepas ketika Loke mengetengahkan insiden di KLIA. Vigneswaran berada di sana pada 14 November untuk menghantar anak perempuannya.
Rakaman CCTV menunjukkan beliau memakai selipar, yang melanggar kod berpakaian kerana memasuki lobi VIP sambil mengabaikan seorang pegawai. Terdapat protokol kawasan larangan untuk VIP di lapangan terbang.
Vigneswaran menafikan pegawai itu cuba menghalangnya berhubung kod berpakaian. Beliau berkata pegawai itu membawanya ke arah lif.
Loke turut menyelar Vigneswaran kerana tidak memahami isu yang sebenar iaitu berkaitan isu keselamatan, bukannya kod berpakaian.
“Mereka salah faham isu sebenar. Ia bukan mengenai selipar. Kita bercakap soal masuk kawasan larangan tanpa kebenaran,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu juga berkata beliau tiada niat untuk melibatkan keluarga Vigneswaran tetapi hanya membangkitkan cara pegawai di lapangan terbang itu dilayan.
Terdahulu, Vigneswaran berkata akan memulakan prosiding undang-undang terhadap menteri DAP berkenaan secepat mungkin kerana memperbesarkan perkara itu, sehingga menyebabkan beliau dan keluarganya dihina.
Beliau berkata selepas Loke menunjukkan kepada media rakamannya memakai sandal di lorong VIP dan mendakwa menceroboh kawasan larangan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya, beliau menjadi mangsa cemuhan orang ramai dan “dibicarakan oleh media”. – 19 November, 2018.