Dividen GLC akan turun tahun ini, ramal Najib
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata pembayaran dividen oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun ini akan lebih rendah berikutan kejatuhan harga saham.
Beliau menyatakan hal itu berlaku akibat langkah-langkah yang diambil kerajaan persekutuan adalah tidak bijak, ia adalah punca keyakinan pelabur asing hilang sekaligus menarik kembali pelaburan mereka dari Malaysia.
Beliau berkata indeks Bursa Malaysia telah menurun, turun 200 mata berbanding sebulan sebelum pilihan raya umum 9 Mei; dan antara saham yang paling terjejas ialah GLC.
“Ini membimbangkan kerana pemegang saham terbesar GLC-GLC disenarai ialah tabung-tabung simpanan rakyat dan kerajaan seperti Khazanah, KWSP, LTAT, PNB dan Tabung Haji.
” katanya dalam catatan Facebook malam ini.
Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan, memetik kejatuhan harga saham Telekom Malaysia sebagai contoh. Saham TM berada pada harga RM6.17 pada 2 Januari. Harga itu kemudian jatuh 63% dengan harga RM2.26 hari ini.
Beliau berkata penurunan harga saham TM sahaja menyebabkan Khazanah kehilangan RM3.9 bilion, KWSP RM2.5 bilion dan Amanah Saham Bumiputera RM1.8 bilion berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya perhatikan juga kebanyakan harga unit amanah (unit trust) yang diurus oleh pelbagai institusi kewangan swasta dan kerajaan telah jatuh. Ada yang jatuh 5% dan ada yang jatuh sebanyak 25% berbanding permulaan tahun ini.
“Satu contoh ialah nilai satu unit ASN yang diurus oleh PNB. Harganya jatuh 13% dari 0.785 sen ke 0.68 sen hari ini,” katanya dalam hantaran yang sama.
Najib berkata ini adalah satu tanda bahawa dividen ASB, KWSP, LTAT dan Tabung Haji pada tahun ini “mungkin jauh lebih rendah berbanding tahun lepas.”.
Tahun lalu, beliau masih mengetuai kerajaan persekutuan dan Kementerian Kewangan. Beliau berkata ketika pentadbirannnya, shama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada pada harga tertinggi.
“Sudah tentu dividen KWSP untuk tahun ini akan jauh lebih rendah dari kadar 6.9% yang diberi tahun lepas, iaitu kadar tertinggi selama 20 tahun.”
Hantaran itu juga turut meletakkan senarai yang menunjukkan harga saham GLC-GLC yang mempunyai pelaburan Khazanah, KWSP, LTAT, PNB dan Tabung Haji.
Beliau juga meletakkan satu carta yang memaparkan kejatuhan pelaburan asing dalam saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia ekoran penarikan diri pelabur setiap bulan sejak PRU14.
“Pengaliran masuk tiba-tiba berubah kepada pengaliran keluar.
“Sebanyak RM14.2 bilion dana pelaburan asing sudah keluar dari Bursa Malaysia sejak bulan Mei sehingga kini.
“Harga minyak dan kos sara hidup tak turun tetapi harga saham dan nilai simpanan rakyat yang turun?” Sindir Najib lagi. – 19 November, 2018.