Iklan

Kekalkan hukuman mati, kata bekas penasihat SPRM

Bernard Saw6 years ago20th Nov 2018Berita
Phang
Bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Robert Phang berkata kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah melupakan  mangsa-mangsa yang terkorban. – Gambar The Malaysian Insight, 20 November, 2018.
Iklan

ROBERT Phang berkata Putrajaya sepatutnya tidak memansuhkan hukuman mati sebelum melakukan rundingan dengan warga awam.

Bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah melupakan  mangsa-mangsa yang terkorban.

“Kami tahu bahawa anda (menteri undang-undang Liew Vui Keong) memiliki kesukaran tetapi anda adalah wakil kami, isu yang melibatkan kehidupan sepatutnya diputuskan dengan teliti, tidak diluluskan secara sepihak oleh kabinet,” katanya pada sidang akhbar di acara ’ Kami Menentang Pemansuhan Hukuman Mati’.

Liew sebelum ini berkata di parlimen baru-baru ini bahawa Putrajaya sedang menimbang untuk menghapuskan hukuman mati bagi 32 kesalahan termasuk pembunuhan, Akta Senjata Api (Heavier Penalties) 1971, Akta Senjata Api 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta 1 Dadah Berbahaya.

Acara itu dianjurkan Persatuan Kebajikan dan Kasih Sayang, yang menjalankan kempen untuk mengekalkan hukuman mati.

NGO itu juga turut merancang forum mengenai isu tersebut di Pulau Pinang dan Johor Baharu supaya rakyat akan mempunyai platform bagi menyuarakan pendapat mengenai isu itu.

“Kita tidak boleh bersetuju dengan pemansuhan hukuman mati, kita mesti bantah sehingga selesai.”

Phang berkata Malaysia tidak boleh menjadi tempat penjenayah boleh melakukan sesuka hati berikutan hukuman mati sudah dimansuhkan.

Beliau juga berkata hukuman mati tidak boleh dimansuhkan hanya bagi membenarkan ekstradisi Sirul Azhar Umar dari Australia. Sirul adalah seorang pegawai polis yang menjadi buruan setelah disabitkan salah di atas dakwaan pembunuhan model Mongolia Altantuyaa Shaariibuu. 

“Tidak begitu mudah, Australia tidak akan mengekstradisi mereka yang dijatuhkan hukuman mati. Jangan biarkan isu ini mempengaruhi dasar untuk masa depan, hukuman mati mesti dikekalkan,” kata Phang.

Phang juga mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan, yang baharu berkuasa selama enam bulan, untuk mendengar suara hati rakyat kerana mereka dipilih untuk memegang tampuk kuasa oleh rakyat.

“Kita memilih ahli parlimen untuk memegang kuasa, dasar ini memerlukan kelulusan mereka, rakyat perlu bersemuka secara terus terhadap mereka, beritahu mereka untuk hadapi kita dan berhenti menyorok!” – 20 November, 2018.
 

Iklan
Iklan