Iklan

Tiada gabungan Umno-PAS, kata Khairy

Kamles Kumar6 years ago21st Nov 2018Berita
Khairy jamaluddin tmiseth 11
Khairy Jamaluddin berkata walaupun Umno dan PAS mewakili orang Melayu dan Islam, tetapi kedua-duanya mendukung ideologi berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2018.
Iklan

UMNO dan PAS boleh terus bekerjasama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama tetapi kedua-dua tidak perlu bergabung, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, walaupun Umno dan PAS mewakili orang Melayu dan Islam, tetapi mendukung ideologi berbeza.

“Saya tak setuju kalau gabung. Saya tak fikir itu boleh berlaku. Lagipun, secara dasarnya kita adalah parti yang berbeza,” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Boleh bekerjasama dalam isu-isu tertentu. Secara taktikal, boleh bekerjasama. Tiada gabungan secara formal. Kita bersetuju dalam perkara-perkara tertentu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Khairy.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu memuji PAS kerana tidak meletakkan calon melawan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam pilihan raya kecil Rantau.

“Saya ucapkan terima kasih pada PAS yang memutuskan untuk tidak bertanding. Saya harap pengundi PAS akan beri sokongan kepada Mohamad. Ini berita baik untuk kami,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat lepas memutuskan pilihan raya Rantau batal dan tidak sah serta mengarahkan Mohamad mengosongkan kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh bagi pilihan raya kecil sekiranya tiada pihak memfailkan rayuan dalam temph 14 hari dari tarikh keputusan mahkamah dikeluarkan. – 21 November, 2018.

Iklan
Iklan