Deloitte perlu bertanggungjawab laporan palsu audit 1MDB
Iklan
DELOITTE Malaysia harus bertanggungjawab kerana memberi maklumat palsu mengenai audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kata ahli Parlimen DAP.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata juruaudit Deloitte, Tan Theng Hooi yang menandatangani audit itu harus dipertanggungjawabkan.
“Pada masa itu, beliau juga mempertahankan akaun yang diaudit untuk 1MDB. Kami mahu kerajaan baharu mengambil tindakan terhadap firma perakaunan ini,” beliau memberitahu pemberitah di lobi Parlimen hari ini.
Lim juga menggesa Institut Akauntan Malaysia (MIA) mengambil tindakan ke atas syarikat berkenaan memandangkan Tony Pua telahpun membuat aduan pada 2015.
“Saya mahu MIA menyatakan dengan jelas dan segera mengenai kedudukan mereka terhadap akaun yang diaudit oleh salah satu ahlinya,” kata beliau.
Ahli Parlime Kampar Thomas Su juga berkata perkara ini adalah berkaitan dengan kepentingan negara dan agensi-agensi berkaitan hendaklah menanganinya dengan profesional.
“MIA perlu ambil tindakan kerana amat jelas salah satu ahlinya datang ke Parlimen dan mempertahankan laporan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Tindakan serius harus diambil,” kata Su.
Pada 2016, Deloitte berkata laporan auditnya berkenaan 1MDB bagi 2013-2014 tidak boleh diambil kira kerana terdapat maklumat baru yang didedahkan oleh tuntutan saman Jabatan Kehakiman AS (DoJ).