Iklan

AirAsia tawar penerbangan murah sempena Tahun Baru Cina

Christopher Rabin6 years ago21st Nov 2018Berita
Anthony loke airasia tmikamal 02
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penerbangan untuk tujuh hari sebelum dan selepas Tahun Baru Cina akan dikenakan pada kadar harga tetap bagi membantu perjalanan awam dengan harga lebih rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2018.
Iklan

SYARIKAT penerbangan AirAsia akan menambah penerbangan tengah malam dari 31 Jan hingga 12 Februari dengan harga tiket pada kadar RM99 hingga RM199 bagi perjalanan sehala untuk memenuhi permintaan musim Tahun Baru Cina.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penerbangan untuk tujuh hari sebelum dan selepas Tahun Baru Cina akan dikenakan pada kadar harga tetap bagi membantu perjalanan awam dengan harga lebih rendah.

“Semakin banyak bekalan, semakin murah kadar harga penerbangan biasa akan diturunkan. Sebaik sahaja kita mempunyai lebih bekalan, ia menurunkan harga secara keseluruhan.

“Ini akan membantu rakyat Malaysia, terutamanya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan dengan harga yang lebih rendah, (dan ia) akan membantu ramai orang,” katanya pada majlis pelancaran program perayaan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata kementerian sebelum ini meminta AirAsia untuk membantu pengurangan kos perjalanan untuk orang ramai sepanjang tempoh perayaan.

“Menteri bertanya kepada saya bagaimana untuk turunkan tambang. Jelas sekali penerbangan Tahun Baru Cina mempunyai tambang paling tinggi tetapi kami berjaya turunkan harga untuk tempoh ke depan ini, kerana penerbangan termurah adalah penerbangan tengah malam.

“Ini untuk bantu orang ramai mendapat tambang murah untuk kembali ke Miri, Sibu, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu,” katanya.

Tony Fernandes berkata pihaknya bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu orang ramai merayakan Tahun Baru Cina di kampung halaman dengan menurunkan harga tambang penerbangan syarikatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2018.

Fernandes juga berkata penerbangan tengah malam tambahan itu mempunyai kapasiti tambahan sebanyak 43,500 tempat duduk.

“Ia mungkin tidak banyak tetapi kami sediakan 43,500 tempat duduk untuk penerbangan tambahan malam ini, selain 22,000 tempat duduk yang ada.

“Ini bermakna bagi tempoh Tahun Baru Cina, kita akan mempunyai 65,000 tempat duduk… Jadi banyak kapasiti untuk turunkan kadar harga tambang. Salah satu cara terbaik untuk turunkan harga adalah dengan mengadakan lebih banyak penerbangan,” katanya.

Penerbangan sehala akan ditetapkan pada harga RM99 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, RM149 dari Kuala Lumpur ke Miri, Sibu dan Kuching, manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu akan menelan harga RM199.

Penerbangan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang akan diselaraskan setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad pada 10.50 malam, manakala penerbangan pulang dari Pulau Pinang akan diselaraskan setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu pada 12.15 pagi.

AirAsia akan terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri setiap hari dan akan berlepas dari KLIA2 pada 11.20 malam, 10.45 malam, 11.15 malam dan 11.00 malam. Perjalanan pulang ditetapkan pada 1.35 pagi, 1.50 pagi, 1.40 pagi, 1.45 pagi bagi setip perjalanan. – 21 November, 2018.

Iklan
Iklan