Komplot singkirkan Tony Pua di Selangor
Iklan
PEMIMPIN akar umbi DAP Selangor mahu menyingkirkan Tony Pua sebagai pengerusi negeri, mendakwa beliau sudah hilang sentuhan dengan pihak bawahan, kata sumber parti.
Pengkritik Pua mendakwa di bawah kepimpinannya, beliau sudah tidak begitu diberi perhatian memberi kepada ahlinya di peringkat negeri.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight akar umbi parti di negeri itu mahu menggantikan Pua dengan Exco Selangor Ng Sze Han. Dan mereka mahukan lebih banyak pemimpin tempatan dilantik ke jawatankuasa parti negeri dalam pemilihan parti negeri akan datang.
Tetapi pada masa yang sama terdapat kebimbangan terhadap kesan buruk kerana Pua dilihat rapat dengan kepimpinan negara.
Ahli Parlimen Damansara Pua adalah pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, setiausaha agung parti dan oleh itu musuhnya tidak mahu bertindak secara terburu-buru.
Setakat ini, 45 individu dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri dan mereka mempunyai tempoh sehingga 26 November untuk mengesahkan pencalonan mereka.
Sumber mengatakan masih ada masa untuk mengatur taktik di belakang untuk mematahkan sebarang plot terhadap Pua.
“Kami berharap pemilihan kali ini akan melihat lebih banyak pemimpin akar umbi dipilih. Kami tidak mahu lagi dominasi oleh puak tunggal.
“Golongan akar umbi berasa seperti ini untuk beberapa waktu. Kepimpinan pusat membuat keputusan tanpa berunding atau mempertimbangkan pendapat ahli di peringkat negeri,” kata sumber.
Ketidakpuasan hati terhadap Pua berpunca daripada, antara lainnya, pemilihan calon yang tidak telus semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengurangan bilangan ahli majlis bagi kerajaan tempatan.
Mereka berkata terdapat kekurangan ketelusan dalam pemilihan calon untuk PRU14 dan akar umbi tidak berpuas hati dengan cara ia dijalankan.
Mengenai pelantikan ahli majlis kerajaan tempatan, pemimpin tempatan berkata bilangannya berkurangan sejak PRU14.
“Ketika masih ada Pakatan Rakyat, lantikan dibahagikan kepada tiga antara DAP, PKR dan PAS. Sekarang di bawah Pakatan Harapan, pelantikan perlu dibahagikan empat dengan Amanah dan Bersatu, yang menyebabkan pelantikan lebih sedikit,” kata sumber lain.
Walaupun benar kuota ahli majlis tempatan dikurangkan untuk DAP di beberapa kawasan majoriti Cina, ia juga menyaksikan peningkatan beberapa kawasan Melayu selepas pilihan raya umum yang lalu. Bagaimanapun, ini tidak menenangkan akar umbi.
Mereka juga tidak gembira dengan pemilihan calon bagi pilihan raya kecil Balakong, susulan kematian penyandangnya, Eddie Ng, dalam kemalangan kereta.
Bekas wartawan TV Yunna Tan pada mulanya dicadangkan untuk kerusi itu, yang menimbulkan rasa tidak senang ramai pemimpin akar umbi sehingga dibawa kepada pihak media untuk menyatakan kemarahan mereka.
Ini menyebabkan perbalahan dengan dengan Pua, yang menuduh mereka tidak menghormati kepimpinan parti.
Perselisihan itu diselesaikan oleh sebuah jawatankuasa parti yang dipimpin oleh ketua parti, Lim Kit Siang, yang kemudian memilih bekas anggota majlis Subang Jaya Wong Siew Ki untuk bertanding di Balakong.
“Pencalonan Tan bukan idea Pua. Ia adalah kepimpinan pusat tetapi pemimpin akar umbi menyalahkan pengerusi negeri (Pua), dan ini menyebabkan orang ramai salah anggap terhadap beliau.”
Isu lain adalah kepimpinan negeri semasa yang kebanyakannya terdiri daripada wakil rakyat.
“Golongan akar umbi mahu menjadi sebahagian daripada kepimpinan negeri.
“Pilihan raya parti yang lalu di peringkat negeri adalah jelas, sama ada anda menyokong pengerusi negeri atau tidak, tetapi sekarang keadaannya berbeza, terdapat banyak suara yang berbeza,” kata sumber itu.
Seorang pemimpin negeri yang menyokong Pua berkata beliau mendengar tentang rancangan menggulingkan pengerusi oleh mereka yang berasa dipinggirkan.
Perancang plot ini, katanya, adalah mereka yang mahu menjadi ahli majlis, Adun atau ahli Parlimen tetapi dinafikan peluangnya.
“Ini adalah orang-orang yang tidak berpuas hati, tetapi ini adalah perkara biasa. Ketika saya bertanya, siapa yang mereka ingin gantikan dengan Pua, mereka juga tidak dapat memberi jawapan,” kata pemimpin negeri itu.
Ketika ditanya untuk menilai kekuatan pihak yang ingin menyingkirkan Pua, sumber tersebut berkata: “Anda harus terlebih dahulu bertanya jika Pua akan bertanding jawatan kepimpinan negeri.”
Jawatankuasa negeri semasa, yang dipilih pada 2015, mempunyai 15 ahli. Kecuali Tiew Way Keng, yang tidak menjadi Adun, Hannah Yeoh, yang kini ahli Parlimen Segambut dan timbalan menteri dan Ng, semua baki selebihnya seramai 12 orang adalah wakil rakyat.
The Malaysian Insight cuba menghubungi Pua untuk maklum balas. – 23 November, 2018.