Iklan

FundMyHome juga terbuka kepada golongan B40, kata menteri 

Kamles Kumar6 years ago22nd Nov 2018Berita
Zuraida kamaruddin tmikamal 03
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata skim berkenaan terbuka kepada semua orang dan semua kategori. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018
Iklan

SKIM FundMyHome terbuka kepada semua, termasuk golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

Menurutnya, pengerusi skim berkenaan Tong Kooi Ong tersilap dalam kenyataan sebelum ini apabila menyatakan skim berkenaan bukan untuk menyediakan rumah mampu milik.

“Beliau tersilap, bila saya tanya, beliau cakap beliau tersilap. Beliau minta saya jelaskan.

“Ia terbuka kepada semua orang dan semua kategori, tetapi kami mengandaikan RM300,000 dan ke bawah dianggap sebagai rumah mampu milik.

“Kita ada penanda RM300,000, jadi ia terbuka kepada sesiapa sahaja dari pembeli rumah kali pertama hingga mereka yang tidak bekerja tetap (kerja sambilan),” kata Zuraida pada sidang media di Parlimen hari ini.

Naib presiden PKR itu juga berkata skim berkenaan akan membenarkan pekerja sambilan utnuk membeli rumah tanpa memerlukan dokumen untuk membeli rumah.

“Bagi mereka yang bekerja sambilan, dengan skim ini mereka akan lebih kreatif untuk meletakkan bayaran pendahuluan..dan bagi lima tahun akan datang kamu tidak perlu bayar,” kata Zuraida.

Beliau juga menegaskan, skim FundMyHome tidak akan menyelesaikan isu perumahan di Malaysia tetapi ia boleh dijadikan alternatif.

“Ini adalah pilihan untuk masyarakat umum, program ini akan memudahkan mereka yang ingin membeli rumah,” katanya.

Tong, yang merupakan pengerusi The Edge Property sebelum ini berkata, ia bukan satu bentuk perumahan mampu milik tetapi menyasarkan untuk menjadikan pemilikan rumah satu kenyataan kepada mereka yang tidak layak untuk mendapatkan pinjaman.

Portal FundMyHome.com dilancarkan pada 4 November dan merekodkan 4,000 pertanyaan.

Di bawah inisiatif yang dipacu sektor swasta, pembeli meletakkan 20% daripada harga hartanah, dan Maybank dan CIMB membuat baki dan berkongsi pulangan apabila harta itu mendapat nilai.

20% yang dibayar pembeli diletakkan dalam akaun amanah dan digunakan untuk membayar 5% pelaburan tahunan kembali kepada bank untuk lima tahun, selepas pembeli mendapat ekuiti 20% terhadap hartanah itu.

Pembeli kemudian boleh memilih untuk menjual rumah itu, membeli bahagian harta yang lain pada harga pasaran, atau membiayai semula rumah sama ada melalui FundMyHome atau gadai janji bank.

FundMyHome juga menawarkan kira-kira 1,000 unit rumah berharga sehingga RM500,000 dari sembilan pemaju iaitu Eco World Development Group Bhd, IJM Land Bhd, IOI Properties Group Bhd, Mah Sing Group Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PNB Development Sdn Bhd, Sunway Bhd, Trinity Group Sdn Bhd, dan UEM Sunrise Bhd. – 22 November, 2018

Iklan
Iklan