Saya beri amaran pada Najib tentang Jho Low, kata Tajuddin
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak sudah diberi amaran sejak dua tahun lalu tentang ahli perniagaan yang kini dalam pelarian Low Taek Jho mencuri duit daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Rahman berkata beliau sendiri beritahu Najib tentang adanya percanggahan dengan Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan menggesa perdana menteri pada masa itu mengambil tindakan.
“Saya sudah rasa dari dua tahun lalu..apa yang berlaku dengan 1MDB adalah penipuan besar dilakukan oleh Jho Low dan lembaga pengarah 1MDB.
“Saya sebagai pemimpin parti dan ahli Majlis Tertinggi, rasa bertanggungjawab untuk beritahu Najib. Saya gesa dia ambil tindakan terhadap pengurusan 1MDB,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau mendapat gambaran tentang skandal itu daripada penjelasan diberikan oleh bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan laporan berita.
Bagaimanapun, Tajuddin berkata Najib tidak melakukan apa-apa walaupun sudah diberi amaran.
“Dia (Najib) diam. Tugas saya sebagai orang parti untuk suarakan kebimbangan, beri pandangan, malam menghukum. Saya sangat serius. Saya kata jika dia tunggu, rakyat akan hilang kepercayaan,” katanya.
Tajuddin berkata Umno tidak tahu butiran lanjut tentang skandal 1MDB tetapi percaya kepada Najib kerana beliau presiden.
“Ahli tidak tahu apa-apa. Anda tanya ketua bahagian, ketua cawangan dan ahli, mereka tidak tahu tentang ini,” katanya.
Parti itu kini mahu Jho Low kembali ke tanah air dan berdepan perbicaraan kerana skandal itu mencemarkan imej Umno.
“Kami perlu tangani perkara ini. Yang pertama ialah ambil tindakan terhadap sesiapa yang bertanggungjawab. Kami bukan saja mahu Jho Low kembali, tetapi kita perlu kejar dia.
“Kerajaan, pihak berkuasa perlu buat yang terbaik untuk menjejakinya dan bawa dia balik.
“Jika Hishammuddin kata dia boleh buat, biar dia buat,” katanya merujuk kepada bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein yang menawarkan bantuan untuk cuba membawa Jho Low balik untuk dibicarakan.
Najib awal hari ini berkata beliau ditipu oleh Jho Low, yang dituduh menjadi dalang dalam skandal 1MDB. – 22 November, 2018.