Putrajaya tidak boleh campur tangan dalam kes Indira Gandhi
Iklan
PUTRAJAYA tidak boleh campur tangan dalam pencarian Prasana Diksa, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dipisahkan daripada ibunya, M Indira Gandhi, selepas melalui perebutan hak jagaan yang memeritkan, kata menteri hal ehwal undang-undang.
Liew Vui Keong berkata Indira adalah pihak yang perlu memulakan prosiding undang-undang terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, yang mendakwa mempunyai hak penjagaan anak bongsu mereka itu.
“Kes ini sememangnya tidak boleh meminta campur tangan kerajaan kerana ini adalah hal perundangan yang dibuat oleh ibu terhadap bekas suami,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.
Liew menasihatkan Indira memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas suaminya, sambil menambah, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Peguam Negara Tommy Thomas.
“Saya perlu bertanya kepada peguam negara mengenai isu ini. Keputusan yang dibuat oleh mahkamah adalah hak penjagaan anak itu diberikan kepada ibu.
“Jika tiada pematuhan terhadap perintah itu, ia akan kelihatan seperti satu kes penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.
Minggu lepas, Indira menulis surat terbuka, yang ditujukan kepada kerajaan Pakatan Harapan baru dan Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun, menyoal mereka mengenai peraturan undang-undang yang banyak diumumkan.
Beliau terus mempersoalkan mengapa undang-undang tidak diperhatikan dalam kesnya.
Agama Prasana ditukar oleh Riduan ketika beliau berumur 11 bulan pada 2009. Beliau bersama ayahnya sejak Mac 2009, apabila membawanya pergi dan meninggalkan Indira.
Perkara menjadi rumit apabila Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan kepada tiga anak pasangan itu kepada Riduan tetapi Mahkamah Tinggi sivil meletakkannya di bawah penjagaan Indira.
Polis tidak bertindak mengikut arahan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 agar Riduan menyerahkan Prasana dan polis untuk mengesannya.
Pada September tahun itu, peguam negara, bagi pihak polis, memfailkan rayuan terhadap arahan mandamus Mahkamah Tinggi Ipoh untuk polis menjejaki Riduan.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan KPN ketika itu, Khalid Abu Bakar menahan Riduan kerana menghina mahkamah. Khalid kini sudah bersara, dan lokasi Riduan masih belum diketahui.
Pada Januari tahun ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama secara unilateral terhadap tiga anak Indira kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang sebelum ini bertindak sebagai peguam Indira, berkata Fuzi menjadikan perkara itu satu keutamaan agar mengeluarkan arahan mencari Riduan.
“KPN sendiri boleh membuat pengumuman apa yang perlu dilakukan. Saya menggesa KPN di Malaysia baharu tampil ke depan dan menerangkannya,” kata Kulasegaran kepada The Malaysian Insight.
Kualasegaran juga menjelaskan beliau tidak boleh terlibat secara langsung dalam perkara ini kerana sudah menjadi menteri.
“Saya tidak boleh mengganggu kerana bukan tidak lagi seorang peguam. Saya seorang menteri. Adalah sangat tidak wajar untuk campur tangan dalam portfolio menteri lain tentang apa yang perlu dilakukan,” katanya. – 24 November, 2018.