Iklan

Najib ketua pembangkang sebenar?

Kamles Kumar6 years ago24th Nov 2018Berita
Najib razak tmikamal 04
Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat seolah-olah menjadi ketua pembangkang dengan serangan konsistennya terhadap dasar dan kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2018.
Iklan

DARIPADA perdana menteri, kini menjadi pemimpin pembangkang sebenar. Itulah peranan Najib Razak secara tidak sengaja diambil ketika beliau mengetuai serangan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu dan dasar mereka.

Masalahnya, Najib bukanlah pemimpin pembangkang dan tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno, parti yang mengetuai blok pembangkang.

Dengan ketiadaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Najib muncul sebagai suara pembangkang, “menyekolahkan” kerajaan baharu mengenai pelbagai perkara terutama mengenai dasar ekonomi.

Ia dilakukan ketika bekas presiden Umno ini berdepan dengan 38 pertuduhan jenayah berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Eksekutif Ilham Center Mohd Azlan Zainal berkata Najib memainkan peranan penting sekarang kerana para pemimpin pembangkang lain lebih fokus memainkan isu kaum dan agama.

“Kepimpinan Umno nampaknya lebih berminat dengan isu agama dan kaum berbanding Najib yang kini dilihat sebagai orang yang mempersoalkan dasar ekonomi PH,” kata Azlan kepada The Malaysian Insight.

Peranan itu seharusnya dimainkan oleh Zahid, tetapi kerana dilihat memberikan sebarang pandangan yang jelas, ia memberi ruang kepada Najib untuk memainkan peranan sebagai ketua pembangkang sebenar, kata Azlan.

“Zahid tidak memainkan peranannya sebagai presiden baru Umno. Mungkin dengan pertuduhan terhadapnya, beliau hilang tumpuan,” katanya.

Zahid bulan lalu menuntut dibicarakan terhadap 45 tuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta.

Mengenai Najib, Azlan berkata, beliau berpegang kepada polisi “serangan adalah pertahanan terbaik” untuk memperoleh sokongan rakyat Malaysia, walaupun dakwaan dihadapinya.

Najib mensasarkan beberapa menteri PH termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dilihatnya sebagai “sparring buddy”.

Kegagalan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan sebagai ketua pembangkang, memberi ruang kepada Najib Razak menonjolkan dirinya . – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2018.

Ahli Parlimen Pekan itu juga yang mensasarkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Najib baru-baru ini mempersendakan Maszlee kerana mencadangkan pihak hotel membenarkan kolam renangnya digunakan untuk latihan pelajar.

Beliau juga menyerang Khalid yang memberi cadangan mengenai “Harapan Coin”, yang difikirkannya tidak boleh dilaksanakan dan menghina ahli Parlimen Amanah itu kerana tidak mengetahui Mass Rapid Transit (MRT) dikendalikan tanpa pemandu.

“Tindakan Najib mengkritik dasar-dasar PH adalah gangguan untuk mengalihkan isu yang melibatkannya,” kata Azlan.

“Beliau juga menekan Lim agar tidak menyalahkan beliau dan pentadbirannya sebelum ini.

“Bagi Najib pada masa ini, pertahanan adalah serangan terbaik.”

Najib dipinggirkan oleh media arus perdana selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14. Tetapi ia tidak menghentikan bekas perdana menteri itu daripada terus bersuara, menggunakan platform media sosial.

Di antara isu kerajaan yang disuarakan beliau termasuk FundMyHome, rancangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan dana disatukan bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang hilang.

Najib juga membangkitkan isu seperti susu tambahan untuk sekolah, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), isu minyak kelapa sawit dan mengkritik Belanjawan 2019, kerana tidak mengambil kira kumpulan B40.

Beliau juga bercakap mengenai beberapa projek penting yang dibatalkan oleh PH dan bagaimana gabungan pemerintah tidak menepati manifesto pilihan raya.

“Biar saya katakan ini, niat sebenar mereka hanya berbohong kepada rakyat tanpa niat untuk memenuhi janji mereka.

“Sama seperti seorang lelaki mahu berkahwin dengan seorang wanita, dia menjanjikan segala-galanya, termasuk bulan dan bintang, tetapi selepas perkahwinan, dia tidak memberi apa-apa, walau debu sekalipun,” kata Najib. – 24 November, 2018.

Iklan
Iklan