Iklan

Sekolah perlu pupuk integrasi, bukan perpecahan, kata kumpulan ibu bapa

Yvonne LimRaevathi Supramaniam6 years ago25th Nov 2018Berita
Kantin melayu
Kantin Melayu disediakan di sebuah sekolah mubaligh di Melaka. Sekolah itu menyediakan kantin berbeza untuk umat Islam yang dikendalikan oleh Muslim. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2018.
Iklan

SEKOLAH sepatutnya menjadi lokasi untuk kanak-kanak belajar tentang perpaduan dan integrasi, serta tidak wajar mempromosikan perpecahan, kata sebuah pertubuhan ibu bapa.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata demikian bagi mengulas laporan The Malaysian Insight berhubung beberapa sekolah vernakular dan mubaligh di negeri itu mempunyai dua kantin.

Satu daripada kantin itu dikhaskan untuk guru dan pelajar Islam.

Mak berkata polisi dua kantin tidak akan dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi jika ia diguna pakai oleh semua sekolah dan memenuhi keperluan mereka yang mempunyai larangan dalam pengambilan pemakanan tertentu.

“Lebih banyak penyedia makanan boleh mewujudkan persaingan sihat dan penyediaan perkhidmatan yang lebih baik.

“Lebih penting lagi, (kantin) perlu melayani semua segmen masyarakat seperti golongan vegetarian.”

Mak berharap kerajaan akan bertindak untuk menyampaikan mesej mengenai integrasi kaum dan perpaduan.

“Kita banyak berbicara tentang integrasi, toleransi dan perpaduan…Demi integrasi, kita perlu menggalakkan semua pihak makan bersama di meja yang sama,” katanya.

Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Malaysia (Page) Tunku Munawirah Putra berkata dasar dua kantin di Melaka tidak konsisten dengan dasar pendidikan negara.

“Pihak sekolah perlu mengusahakan untuk mempromosikan integrasi. Pertimbangan jelas dan teliti harus diambil untuk memastikan (usaha ini) selaras dengan perkara itu, “katanya.

Bekas guru yang kini bergelar aktivis Mohd Nor Izzat Mohd Johari bagaimanapun berkata sistem dua kantin tidak akan memberi sebaran kesan terhadap pelajar di sekolah tersebut mengenai persepsi mereka berhubung integrasi perkauman dan perpaduan.

“Ia sudah berlaku sejak dulu dan akan menjadi kebiasaan kepada pelajar. Malah pelajar India dan Cina boleh membeli dari kantin Melayu jika mereka mahu.”

Izzat sebelum ini dipecat kerana lantang menentang dasar pendidikan termasuk sistem Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang kini digantung pelaksanaannya.

Seorang guru sekolah awam yang ditemui The Malaysian Insight berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah dengan sekolah mempunyai dua kantin, kerana sesetengah orang mungkin tidak memahami maksud halal.

“Saya tidak pasti bagaimana kantin terlibat beroperasi dengan cara halal, tetapi adakalanya orang tidak faham apa makna halal sebenar. Saya pernah tanya rakan Cina saya mengenai pemahaman mereka mengenai halal, dan mereka berikan pandangan berbeza mengenainya,” kata guru sekolah Nurul Hanis Ahmad Raslan. – 25 November, 2018.

Iklan
Iklan