UKM bakal dapat naib canselor baru Januari ini
Iklan
UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diterajui naib canselor yang baharu Januari ini, kata sumber kerajaan dan universiti, peralihan yang menandakan satu lagi fasa perubahan di institusi pengajian tinggi awam sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di Putrajaya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Naib Canselor UKM Dr Noor Azlan Ghazali tidak akan diperbaharui kontraknya apabila tamat bulan depan.
“Beliau akan habis (perkhidmatan) Disember ini,” kata sumber kerajaan kepada The Malaysian Insight.
Sumber memberitahu, Kementerian Pendidikan sekarang dalam proses menggantikan beberapa naib canselor universiti awam secara berperingkat-peringkat, selepas selesai proses melantik lembaga pengarah universiti yang baru, beberapa minggu lalu.
Noor Azlan difahamkan akan diganti oleh Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dari Universiti Malaya, berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Maklumat yang sama juga disahkan oleh sumber di UKM.
“VC berhenti Disember ini,” kata sumber kedua itu.
The Malaysian Insight telah menghubungi Noor Azlan tetapi belum mendapat maklum balas.
Setakat ini, hanya Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sudah diganti naib canselornya berkuat kuasa Ogos lalu.
Dengan penamatan perkhidmatannya, Noor Azlan juga dijangka akan melepaskan jawatan pengerusi lembaga pengarah UKM Holdings, anak syarikat yang menjana pendapatan bagi universiti.
Beberapa bulan lalu, Noor Azlan dilantik oleh Lembaga Pengarah Universiti mempengerusikan lembaga pengarah UKM Holdings – langkah yang mencetuskan kontroversi dalaman kerana bertentangan dengan tatacara pengurusan yang ditetapkan oleh kementerian.
Tatacara pengkorporatan universiti yang diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi pada 2016 menetapkan harus ada pemisahan kuasa yang jelas antara naib canselor dan pengerusi syarikat universiti.
Noor Azlan, yang memimpin UKM sejak 1 Januari 2014 menggantikan Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dijangka akan kembali mengajar di Sekolah Perniagaan Siswazah UKM.
Noor Azlan, yang juga ketua kluster ekonomi dan pengurusan Majlis Profesor Negara, antara pemimpin universiti yang didakwa berkempen untuk Barisan Nasional (BN)semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
Abangnya adalah Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali yang keluar Umno dan BN pada 24 Jun lalu untuk jadi wakil rakyat bebas. Beliau semalam menyertai Bersatu, menjadikan parti itu kini mempunyai 15 wakil di Dewan Rakyat.
Noor Azlan, yang juga pensyarah ekonomi, pernah dipinjamkan oleh UKM ke Jabatan Perdana Menteri antara April 2006 hingga September 2009, memegang pelbagai jawatan termasuk di Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Sebelum ke JPM, beliau adalah dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan serta pengerusi Sekolah Perniagaan Siswazah UKM.
Minggu lalu, Noor Azlan diselar secara terbuka oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik selepas UKM menyekat aktivis politik Hishamuddin Rais daripada terlibat dalam program wacana anjuran mahasiswa.
Maszlee berkata kepimpinan universiti sepatutnya memudahkan hasrat pelajar menjalankan program berbentuk diskusi ilmiah.
“Harus selaras dengan Malaysia baharu yang pro wacana, bukannya menjadi penghalang,” kata Maszlee.
Penganjur program Sekolah Malam itu mengaku tidak meminta kebenaran rasmi daripada pihak pentadbir universiti tetapi program sama berlangsung dua kali tahun ini tanpa masalah.
Program sama juga berjalan seperti biasa malam kelmarin, menampilkan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom.
The Malaysian Insight difahamkan Noor Azlan tidak bersetuju dengan pendekatan terbuka Maszlee sebaliknya menegaskan universiti ada hak menetapkan peraturannya sendiri bagi setiap penganjuran program di kampus.
Noor Azlan berpendapat kuasa yang ada pada universiti harus selaras dengan autonomi yang dijamin oleh Maszlee dan kerajaan PH sebelum ini. – 29 November, 2018.