Iklan

Sekalipun berjasa, Umno akan lawan orang khianat parti, kata MB Kedah

Amin IskandarNoel Achariam7 years ago19th Aug 2017Berita
Ahmad bashah tminazirsufari 04
Pemimpin bersilih ganti tetapi parti keramat Umno harus berdiri tegak untuk bawa masa depan generasi kita yang akan datang, kata Ahmad Bashah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2017.
Iklan

SEBESAR mana pun jasa seseorang itu, sekiranya melawan Umno, parti Melayu itu akan menganggapnya sebagai musuh yang mesti dilawan habis-habisan, kata Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bashah berkata, Umno sudah banyak berjasa kepada Langkawi, seluruh negeri Kedah dan Malaysia selama 71 tahun.

“Saya nak bagi tahu orang Pulau Langkawi apa juga keadaan di hadapan kita menjelang pilihan raya yang akan datang ini, orang itu tidak kira siapa, besar mana jasanya, besar mana budi dia dengan apa yang sudah dibuat.

“Kalau dia tentang Umno nak kalahkan Umno, kita akan bangun tentang orang ini habis-habisan,” kata pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu semasa berucap pada program “Pemimpin Bersama Rakyat” di Langkawi, Kedah hari ini, dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Boleh tuan-tuan?” soal Bashah disambut dengan jeritan “Boleh” daripada hadirin.

Bashah berkata, ini kerana Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah banyak berjasa kepada negara.

“Pulau Langkawi ini tuan-tuan, pemimpin bersilih ganti tetapi parti keramat itu harus berdiri tegak untuk bawa masa depan generasi kita yang akan datang.

“Ini yang perlu kita lihat. Kita tak boleh biar fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin parti keramat ini,” katanya.

Dr Mahathir sangat berpengaruh di Langkawi kerana jasa-jasanya semasa menjadi perdana menteri dan parti Bersatu yang dipimpinnya sedang mengorak langkah di pulau itu.

Kerusi Parlimen Langkawi disasarkan sebagai kerusi boleh menang Pakatan Harapan (PH) kerana pengaruh besar Dr Mahathir kepada rakyat pulau itu.

Bashah berkata, beliau bimbang dengan “tuduhan dan fitnah” yang disebarkan pemimpin pembangkang di seluruh negeri Kedah untuk memburuk-burukkan pemimpin Umno.

“Percubaan untuk menghina pemimpin parti keramat ini sudah berjalan di seluruh negeri Kedah.

“Jadi tuan-tuan ini yang perlu kita renung kerana saya bimbang dengan tuduhan, fitnah yang disusun atur,” katanya.

Bashah berkata, Perdana Menteri Najib Razak sudah banyak berjasa kepada negeri Kedah dan rakyat harus menyokong Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai balasan.

“Kita mahu Najib tahu rakyat Kedah sentiasa ingat kebaikan yang beliau tunjukkan.

“Sudah tentu kita akan membayar balik kebaikan Najib terutamanya di Langkawi kerana kita akan berdepan dengan pilihan raya tidak lama lagi,” katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM247 juta.

Selain itu Najib turut melancarkan Jeti Nelayan di Pulau Chenang bernilai RM9.16 juta.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar, Menteri Pertanian Ahmad Shabery Cheek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim.

Majlis itu juga menampilkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah seperti kereta, motorsikal, basikal dan pelbagai barangan elektrik. – 19 Ogos, 2017.

Sebahagian hadiah cabutan bertuah pada program 'Pemimpin Bersama Rakyat' di Mahsuri Langkawi Exhibition Centre hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan