Pulau Pinang tidak akan paksa rumah ibadat berpindah
Iklan
TIADA tindakan akan diambil terhadap rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang tanpa kebenaran daripada jawatankuasa negeri yang memantau bangunan keagamaan itu, kata exco kerajaan tempatan negeri Jagdeep Singh Deo.
Beliau berkata sebarang tindakan yang hendak diambil terhadap bangunan berkenaan, perlu melalui permohonan yang dibuat kepada jawatankuasa RIBI (rumah ibadat bukan Islam).
Jawatankuasa itu ditubuhkan beberapa tahun lalu dan dipengerusikan oleh Jagdeep, bertanggungjawab memberi tanah kepada RIBI; menyediakan peruntukan untuk membina rumah ibadat baharu, pengubahsuaian dan pembaikan; dan mengendalikan aduan terhadap RIBI.
“Secara teknikalnya, mereka perlu memohon kepada jawatankuasa RIBI. Tiada tindakan diambil terhadap bangunan itu sehingga ia dimohon kepada jawatankuasa.
“Jawatankuasa itu akan bertindak adil terhadap semua pihak, jika ada aduan, bagi menjaga sensitiviti.
“Jika pemindahan bangunan diperlukan, ia akan dibuat berdasarkan kepada persetujuan semua pihak, bukan dengan cara paksa,” katanya kepada media di Bayan Baru hari ini.
Katanya, sejak menjadi exco pada 2013, jawatankuasa itu berjaya menjalankan fungsinya dan tiada insiden tidak dingini berlaku membabitkan bangunan RIBI di negeri itu.
Jagdeep terdahulu diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berkata kementerian akan merangka undang-undang baharu mewajibkan rumah ibadat mendapatkan kelulusan pihak berkuasa sebelum dibina. – 3 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.