Iklan

Lupakan parti tiada pendirian, kata Amanah

Zulkifli SulongSharon Tan7 years ago20th Aug 2017Berita
Amanah convention tmikamal 04
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi mengatakan Amanah lebih faham perangai dan sikap parti tertentu, dipercayai merujuk kepada PAS dan memberi ingatan usaha memujuk parti itu hanya sia-sia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Ogos, 2017.
Iklan

AMANAH Perak meminta semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) agar jangan membuang masa memujuk pihak tertentu yang bagi mereka tiada pendirian tetap.

“Jangan buang masa memujuk pihak-pihak yang tegaknya tiada tulang belakang, duduknya rapuh di pinggang.

“Sekejap berkluk ke kanan, sekejap berklik ke kiri, pinar mencari arah. Tak tahu ke mana hendak dituju,” kata Asmuni Awi, pengerusi Amanah Perak ketika memberikan ucap utama di Konvensyen Amanah Perak di sebuah hotel dekat Ipoh hari ini.

Asmuni dipercayai menujukan ucapan itu kepada rakannya dari PKR yang masih terus mahu memujuk PAS agar bekerjasama dengan PH.

Asmuni yang merupakan bekas bendahari PAS pusat itu memberikan ingatan, Amanah yang merupakan pecahan dari PAS lebih mengenali pemimpin parti lamanya berbanding yang lain.

“Sekadar ingatan, kami lebih mengenali ‘mereka’ dari orang lain mengenalinya,” kata Asmuni yang dipercayai ditujukan kepada pemimpin PAS ekoran usaha rakannya dalam PH, PKR yang masih berusaha untuk bekerjasama dengannya.

Konvensyen Amanah Perak diadakan hari ini di salah sebuah hotel di Ipoh.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Ogos, 2017.

PKR sebelum ini dilaporkan masih mencari jalan untuk berunding dengan PAS, malah PKR dilaporkan berkata “pintu perbincangan” masih dibuka untuk kerjasama dengan PAS bagi memastikan pertandingan tiga penjuru tidak berlaku.

Walaupun begitu, tindakan ini menimbulkan rasa kurang senang rakan politiknya terutama Amanah. Malah penganalisis juga berpandangan, tindakan PKR untuk terus memburu PAS boleh memberi kesan buruk kepada kedudukannya di Selangor.

Baru-baru ini, pemimpin kanan PKR termasuk Presiden Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Shaharuddin Baharuddin mengunjungi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang baharu sahaja lepas menjalani pembedahan jantungnya. – 20 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan