Malaysia tuntut semula ruang udara daripada Singapura
Iklan
MALAYSIA akan menghantar nota protes kepada Singapura bagi membantah rancangan republik pulau itu menggunakan ruang udara selatan Johor untuk operasi penerbangan di Lapangan Terbang Seletar, dan memulakan perbincangan mengenai mengambil semula ruang udara di selatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Singapura, tanpa persetujuan Malaysia, pada 1 Disember mengeluarkan prosedur Instrument Landing System (ILS) baharu untuk Lapangan Terbang Seletar yang dikuatkuasakan mulai 3 Januari tahun depan.
Prosedur ILS baharu dalam Penerbitan Maklumat Aeronautik Singapura (AIP), akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang, katanya.
Lapangan terbang komersial Seletar di timur laut Singapura terletak hanya 2km dari sempadan Johor.
“Setiap bangunan atau struktur perlu mematuhi kawalan limbungan dan had ketinggian yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. AIP Singapura juga akan menjejaskan operasi perkapalan di pelabuhan Pasir Gudang.
“Prosedur ILS baharu bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Konvensyen Chicago) 1944,” kata Loke kepada Dewan Rakyat hari ini.
“Untuk menjaga kedaulatan wilayah ruang udara dan pembangunan Pasir Gudang, Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan Singapura meneruskan ILS baharu. Keputusan ini sudah disampaikan kepada Singapura pada 28 dan 29 November.
“Tetapi Singapura meneruskan juga ILS ... Oleh itu, Malaysia, melalui Kementerian Luar Negeri, akan mengeluarkan nota protes Singapura dengan segera.”
Loke berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai sama ada pembangunan di sekitar Pasir Gudang, termasuk Pelabuhan Johor, akan terjejas dengan peningkatan operasi penerbangan komersial di lapangan terbang Seletar.
Hassan bertanya semasa sesi menyoal sama ada Malaysia akan mengambil alih ruang udara yang diberikan di selatan Johor daripada Singapura demi kepentingan negara. – 4 Disember, 2018.