Iklan

Siapa 4 ‘leftenan’ Jho Low dalam penipuan 1MDB?

Looi Sue-Chern6 years ago5th Dec 2018Berita
Iklan

NAMA ahli perniagaan Low Taek Jho paling biasa didengar dan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi butiran lanjut tentang empat lagi individu yang didakwa bersamanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, masih tidak jelas.

Empat individu itu – Tang Keng Chee, Loo Ai Swan, Geh Choh Heng dan Tan Kim Loong – mungkin tidak sepopular Low tetapi mereka sudah lama berada dalam senarai orang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemburuan empat individu itu bermula sejak Jun tahun ini apabila SPRM mengehendaki mereka untuk soal siasat berhubung siasatan penyelewengan dana 1MDB.

Dan selepas usaha menjejaki mereka gagal, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam mengeluarkan waran tangkap baharu terhadap lima pelarian itu.

Berikut ialah ringkasan tentang “leftenan” Jho Low

Tang Keng Chee

Juga dikenali sebagai Casey Tang, 53, bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB selama tiga tahun hingga Mac 2011. Dilaporkan beliau sudah terbabit dengan syarikat pelaburan itu sejak ia dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

Melihat kepada sejarahnya dengan TIA, Tang padan dengan gambaran “1MDB Officer 1” dalam permohonan yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2016.

DoJ mendaka “1MDB Officer 1” memperdayakan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta (RM2.9 bilion) kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat didakwa milik Jho Low.

Pada 2015, Tang dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, tetapi beliau tidak pernah tampil untuk disoal siasat.

Loo Ai Swan

Juga dikenali sebagai Jasmine Loo, beliau ialah peguam umum dan pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB antara 2012 dan 2013.

Loo, 45, yang tamat pengajian undang-undang di UK mengenali Jho Low sebelum menyertai 1MDB. Beliau dilaporkan bekerja sebagai pengarah eksekutif undang-undang di Utama Banking Group (UBG) Berhad, syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.

Dalam fail DoJ, beliau dikenal pasti sebagai “1MDB Officer 3”, yang berkhidmat sebagai pengantara 1MDB dan Goldman Sachs Group Inc, bank yang membantu syarikat pelaburan itu mendapatkan AS$6.5 bilion.

Fail mahkamah juga menyatakan bahawa “1MDB Officer 3” penandatangan untuk akaun bank atas nama Tanore Finance Corporation. Akaun itu digunakan pada Mac 2013 untuk memindahkan AS$681 juta ke akaun Ambank milik “Malaysian Official 1”, di mana AS$620 juta dikembalikan pada 26 Ogos tahun sama.

“Malaysian Official 1” dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Turut dilaporkan dalam fail mahkamah ialah Loo menerima pindahan AS$5 juta, antara berpuluh-puluh bayaran lain.

Sama seperti Tang, Loo juga dikehendaki oleh Bank Negara pada 2015 untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, tetapi beliau juga tidak pernah tampil untuk disoal siasat.

Tan Kim Loong

Juga dikenali sebagai Eric Tan, 40, dikatakan sebagai rakan keluarga Jho Low dan menjadi wakil untuk transaksi perbankannya, menjadikan beliau individu utama dalam jejak wang membabitkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Tan dinyatakan sebagai pemilik benefisiari untuk beberapa akaun bank di RBS Coutts dan Falcon Bank, di mana wang 1MDB yang diseleweng, dipindahkan.

Pada 30 September, 2009 beliau mengarahkan RBS Coutts di Singapura memindahkan AS$20 juta ke JP Morgan, akaun ketua eksekutif PetroSaudi International (PSI) Ltd Tarek Obaid.

Bayaran itu dibuat dua hari selepas 1MDB menandatangani urus niaga usaha sama dengan PSI dan sehari selepas AS$1 bilion dipindahkan di luar negara oleh 1MDB. Good Star Ltd (Seychelles) milik Jho Low menerima AS$700 juta daripada jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.

Obaid dan Putera Arab Saudi Turki Abdullah ialah pemegang saham PSI, di mana 1MDB hilang AS$1.8 bilion. Kebanyakan wang itu dilaporkan dikesan ke akaun bank Jho Low dan Patrick Mahony, seorang lagi pengarah PSI.

Pada 1 Oktober, 2009 Tan menghantar e-mel kepada Mahony berkenaan perjanjian pengurusan pelaburan. Beliau kemudian akan dibayar 2% bagi menguruskan sejumlah AS$85 juta untuk Good Star.

Tan dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura pada Mei 2016, bersama Jho Low susulan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang masuk menerusi sistem kewangan republik itu. Bila kedua-duanya tidak ditemui di Singapura, bantuan dipohon kepada Interpol dan kemudian notis merah dikeluarkan terhadap mereka pada Oktober 2016.

The Edge pada Mei 2016 melaporkan nama Tan muncul di mahkamah Singapura apabila bekas pegawai bank BSI Yeo Jia Wei didakwa atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Yeo, dijatuhi hukuman penjara 54 bulan, didakwa melakukan penipuan dengan membantu pindahan bayaran AS$11.9 juta dari akaun BSI milik SRC International (M) Ltd (British Virgin Islands) di Switzerland ke akaun DBS Bank di Singapura milik syarikat Tan, Affinity Equity International Partners Ltd pada Disember 2013.

SRC (BVI) ialah anak syarikat SRC International, yang kemudian menjadi anak syarikat 1MDB selepas ia dipindahkan ke Minister of Finance (MoF) Inc pada Februari 2012.

Yeo membantu bayaran itu menggunakan “perantara” dengan melabur di BVI-based Pacific Harbor Global Growth Fund AA4.

Geh Choh Heng

Juga dikenali sebagai Terence Geh, 47, ialah pengarah eksekutif kewangan 1MDB setakat Oktober 2015, menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016 berkenaan kawalan pengurusan tadbir urus.

Namanya muncul di berita tempatan tahun ini apabila SPRM memburunya bersama tiga yang lain.

Nama Geh juga muncul dalam dokumen yang dianggap bukti dalam perbicaraan Yeo di Singapura pada 2016, menurut The Edge.

Dokumen itu menunjukkan Geh dan pengarah urusan SRC pada masa itu, Nik Faisal Ariff Kamil meluluskan pindahan bayaran dan pelaburan di Pacific Harbor fund.

Satu lagi dokumen menunjukkan e-mel Geh kepada Yeo, Nik Faisal dan lain-lain di BSI. Yeo meminta Nik Faisal di dalam e-mel itu untuk menandatangani dokumen untuk meneruskan pelaburan dana yang diuruskan oleh Pacific Harbor. – 5 Disember, 2018.

Iklan
Iklan