Masyarakat tanpa tunai tidak jejaskan peluang pekerjaan, kata menteri
Iklan
PEKERJA bank tidak akan kehilangan kerja walaupun Malaysia akan menuju ke arah masyarakat tanpa tunai secara berperingkat, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.
Sebaliknya beliau berkata perubahan dalam dunia teknologi itu akan memudahkan sektor perbankan dan tugas pekerja bank menjadi lebih baik.
“Isu kehilangan kerja di bank tidak akan berlaku. Anda mungkin dapat bekerja dengan lebih baik (dalam suasana tersebut,” katanya pada forum undang-undang pekerja di Pulau Pinang hari ini.
Kulasegaran menjawab soalan daripada wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang mahu mengetahui sama ada pekerja bank akan kehilangan punca rezeki jika masyarakat tanpa tunai direalisasikan.
Wakil NUBE itu memetik laporan media baru-baru ini mengenai kenyataan Perdana Mahathir bahawa kerajaan merancang untuk mewujudkan masyarakat tanpa tunai bagi mengekang isu rasuah.
Kulasegaran berkata Dr Mahathir sebelum ini dimaklumkan oleh rakan sejawatnya dari India, Mahendra Modi Narendra Damodardas Modi tentang cara India mengendalikan rasuah dengan menggunakan sistem tanpa tunai.
Di bawah insiatif ‘Digital India’ itu, kerajaan India berjaya mengawal 86% aliran tunai.
Menerusi program identifikasi Aadhaar, data seperti cap jari dan imbasan mata dikumpulkan dari setiap penduduk untuk mewujudkan pangkalan data digital rakyat dengan melibatkan bank akaun, nombor telefon, rekod cukai pendapatan dan pendaftaran pengundi.
Program itu membolehkan kerajaan India mengekang penipuan identiti dan rasuah.
Kulasegaran berkata sistem seperti Aadhaar boleh membantu kerajaan memastikan subsidi yang diberikan hanya memberi manfaat kepada rakyat yang berhak menerimanya.
Katanya sistem itu mungkin boleh digunakan untuk kumpulan subsidi bersasar seperti rancangan Putrajaya membantu golongan B40 pada tahun depan menerusi pemberian subsidi petrol RON95.
“Jika ia boleh berfungsi di India, negara yang rakyatnya tidak mempunyai kad pengenalan, tiada sebab ia tidak boleh dilaksanakan di sini,” katanya. – 6 Disember, 2018.
Berita penuh di sini.