Kemelut dengan Malaysia memuncak, Singapura seru rakyat berpadu
Iklan
KEMELUT ruang udara dan laut antara Singapura dan Malaysia yang berpotensi menjadi peristiwa lebih serius, pengguna media sosial kedua-dua negara mula meluahkan kekecewaan dan kebimbangan mereka di ruang siber.
Rakyat Singapura meluahkan kebimbangan mereka terhadap kemelut tersebut, ramai antaranya senada dengan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wah yang berkata tuntutan Malaysia ke atas kawasan perairan adalah cabaran kepada kepentingan republik tersebut.
Manakala, Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan-Jin dalam catatan di Facebooknya malam tadi berkata pertikaian perairan itu adalah “serius” dan menggesa penduduk Singapura untuk terus kekal “berwaspada, bertenang dan berpadu”.
“Mustahak untuk memahami apa dan mengapa (situasi) ini berlaku. Kita mahu terus jadi jiran yang baik kerana ia masuk akal (baik) untuk kedua-dua negara,” tulis Tan.
“Beberapa isu ini bukanlah baharu tetapi kita mampu membina hubungan baik sejak beberapa tahun lepas. Kita tidak bergaduh dengan kawan Malaysia kita.
“Adakah ini semua tindakan individu? Adakah ia menggambarkan hasrat kolektif? Sukar untuk dinyatakan. Tetapi perkembangan ini serius.
“Biar kita berikan doa kita kepada lelaki dan wanita yang berada di barisan hadapan menjaga negara kita. Biar kita terus berwaspada, bertenang dan berpadu.”
Awal minggu ini, Singapura menuduh Malaysia tanpa berbincang melanjutkan had pelabuhan di Johor melintasi “kawasan yang Malaysia sendiri dakwa sebagai perairannya”. – 7 Disember, 2018.