Pertikaian tidak akan jejas hubungan Malaysia-Singapura, kata pakar
Iklan
PERTIKAIAN mengenai ruang udara dan sempadan maritim antara Malaysia-Singapura tidak akan menjejaskan persahabatan antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak bertahun lamanya, kata pakar perhubungan antarabangsa.
Menurut mereka, ini bukan kali pertama kedua-dua negara berjiran itu terlibat dalam pertikaian, sambil menambah isunya juga bukanlah isu baharu dan ia boleh diselesaikan dengan baik.
Penasihat utama Pacific Research Centre Malaysia, Oh Ei Sun, berkata pertikaian wilayah bukan sesuatu yang baru antara Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata pengalaman masa lalu juga menunjukkan corak yang hampir serupa mengebai resolusi mereka.
“Kebiasaannya, ia adalah pemberitahuan rasmi mengenai pelanggran kedaulatan, diikuti oleh rundingan dua hala, yang mana jika gagal akan diserahkan kepada penimbangtara atau penghakiman.
“Ini sebenarnya memberi contoh yang sangat baik tentang bagaimana negara-negar berjiran menyelesaikan masalah pertikaian mereka dengan matang dan aman,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Sejak awal minggu ini Malaysia dan Singapura saling berbalas kenyataan berhubung ruang udara dan sempadan maritim.
Selasa lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat yang nota bantahan akan dihantar ke Singapura bagi membantah rancangan republik itu untuk menggunakan ruang udara selatan Johor bagi operasi penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.
Beliau berkata, pada 1 Disember Singapura tanpa persetujuan Malaysia telah mengeluarkan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar yang akan berkuatkuasa 3 Januari depan.
Malaysia menyatakan prosedur ILS itu akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang. Kementerian Pengangkutan Singapura kemudian terus menafikan. – 7 Disember, 2018.