Iklan

DBKL akan hukum pemilik premis biarkan kegiatan haram

Yvonne Lim6 years ago8th Dec 2018Berita
Khalid samad tmi 05
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mahu pemilik premis hiburan lebih proaktif dalam menangani kegiatan haram di premis milik mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2018.
Iklan

PEMILIK pusat hiburan tidak lama lagi akan bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti haram seperti perjudian, penggunaan dadah dan pelacuran yang dijalankan di premis mereka, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Khalid berkata ketika ini, hanya individu yang ditangkap kerana aktiviti haram akan diambil tindakan, manakala pusat hiburan di mana kegiatan itu berlaku dilepaskan.

“Apabila ia berlaku, orang yang melakukan kegiatan itu ditahan, tetapi kelab malam itu terus berjalan seperti biasa,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

“Akibatnya, (pusat hiburan) mengambil sikap yang acuh tidak acuh terhadap masalah itu.”

Khalid berkata kementeriannya sedang berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggariskan kuasa dewan untuk bertindak terhadap kedai-kedai hiburan yang membiarkan kegiatan haram itu berlaku, bagi memberi tekanan kepada pemiliknya untuk mengambil sikap yang lebih proaktif agar mereka dapat memastikan aktiviti haram tidak lagi dijalankan di premis mereka.

“Mereka harus tanggungjawab juga, kerana kami memberikan lesen untuk hiburan, tetapi bukan seperti itu,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan had waktu operasi sehingga pukul 1 pagi untuk kedai-kedai hiburan, Khalid berkata kementeriannya sedang berbincang dengan DBKL mengenai isu itu dan akan membuat keputusan pada 1 Januari depan.

Mengulas semula bahawa ia bukan dasar menyeluruh, dan sekadar cadangan oleh Datuk Bandar KL, Khalid berkata pihak berkuasa kini lebih tertumpu pada pusat hiburan yang ketika ini melanggar syarat-syarat lesen premis mereka.

“Masalah yang dihadapi pihak berkuasa adalah wujud premis-premis yang mempunyai lesen membenarkan mereka membuka sehingga pukul 1 pagi, namun tetap meneruskan operasi premisnya sehingga pukul 3, 4, 5 pagi..

“Dan orang-orang yang mempunyai lesen yang membenarkan mereka membuka premis sehingga 5 pagi, mereka ini mendapat lanjutan masa itu kerana mengatakan mereka mempunyai banyak orang asing berkunjung ke kelab malam, tetapi apabila diperiksa, (tidak ada orang asing). Jadi jelas alasan-alasan mereka tak boleh diterima.

“Kita tidak boleh biarkan orang berbohong kepada kita dan kita abaikan.”

Bulan lalu, Khalid dilaporkan mengatakan bahawa langkah untuk mengenakan kawalan yang lebih ketat berhubung waktu operasi premis hiburan supaya unit-unit keluarga di negara ini dapat menghabiskan waktu lebih bersama-sama.

“Jangan habiskan masa di kelab-kelab malam, pulang dan temani keluarga anda,” katanya. – 8 Disember, 2018.

Iklan
Iklan